Kalau anda suka shopping tapi kadang-kadang bajet agak ketat, Ryt Bank ada berita baik untuk anda! Mereka baru saja lancarkan ciri baru dalam aplikasi perbankan digital mereka yang dinamakan Ryt PayLater. Macam namanya, ia adalah kemudahan Buy Now, Pay Later (BNPL) – beli dulu, bayar kemudian.
Dengan Ryt PayLater, anda boleh guna kredit yang diberikan oleh bank untuk buat pembayaran melalui DuitNow QR, dan bayar semula sama ada sekaligus bulan depan (0% faedah!) atau pecahkan jadi ansuran sehingga 12 bulan.
Apa Itu Ryt PayLater? Panduan Lengkap BNPL Dari Ryt Bank
Buat masa ini, Ryt Bank bagi had kredit sehingga RM1,499. Bestnya, anda boleh aktifkan terus dalam aplikasi tanpa perlu hantar sebarang dokumen tambahan – cepat, mudah dan tak leceh.
Kalau bayar penuh bulan depan, anda tak perlu bayar apa-apa faedah. Tapi kalau nak bayar ansuran, anda boleh pilih tempoh bayaran 3, 6, 9 atau 12 bulan. Cuma pilihan ansuran ni hanya keluar 4 hari sebelum tarikh akhir bayaran pertama.
Kadar Faedah Ryt PayLater
Walaupun nampak menarik, anda kena ambil tahu juga tentang kadar faedah. Kalau anda gagal bayar tepat pada waktunya, sistem akan automatik tukar hutang anda kepada ansuran 3 bulan.
👉 Kadar faedah tahunan: 8.87% (EIR hingga 31.72% ikut tempoh).
👉 Contoh: Kalau anda guna penuh RM1,499, bayaran bulanan lebih kurang RM510.74 untuk 3 bulan, dan jumlah keseluruhan jadi RM1,532.23.
Senarai kadar faedah efektif (EIR):
- 1 bulan: 0%
- 3 bulan: 26.80%
- 6 bulan: 30.23%
- 9 bulan: 31.32%
- 12 bulan: 31.72%
Kalau masih gagal bayar, akaun PayLater anda akan digantung, nama boleh masuk dalam CCRIS, dan bank ada hak untuk tolak baki daripada akaun simpanan atau semasa anda.
Ryt PayLater Boleh Digunakan Untuk DuitNow QR
Satu lagi benda penting – Ryt PayLater hanya boleh digunakan untuk transaksi DuitNow QR. Maksudnya, ia sesuai untuk shopping di kedai atau restoran yang ada QR code.
Belum boleh guna untuk:
- Pindahan duit ke akaun lain
- Bayaran atas talian
- Pembayaran kad
Tapi Ryt Bank ada rancangan untuk tambah fungsi lain pada masa akan datang. Jadi mungkin tak lama lagi anda boleh guna Ryt PayLater untuk shopping online juga.
Apa Yang Buat Ryt PayLater Special?
Kalau nak dibandingkan dengan bank digital lain macam GXBank dan Aeon Bank, mereka biasanya tawarkan produk pembiayaan atau pinjaman namun beza pula dengan Ryt Bank kerana ia merupakan bank pertama di Malaysia yang tawarkan BNPL dengan pilihan 0% faedah untuk 1 bulan.
Maknanya, anda boleh simpan duit anda dalam akaun simpanan Save Pockets (faedah 4% setahun), dan gunakan Ryt PayLater untuk shopping – asalkan bayar balik penuh bulan depan. Kiranya anda masih boleh gandakan simpanan sambil enjoy shopping tanpa caj tambahan. Bijak, kan?
Tapi Ingat, BNPL Ada Risiko
Walaupun nampak best, jangan lupa bahawa BNPL tetap hutang. Kalau anda jenis mudah “ter-over budget”, kemudahan ni boleh jadi pedang dua mata. Sebab itu penting untuk berbelanja ikut kemampuan.
Tips guna Ryt PayLater dengan bijak:
- Gunakan hanya untuk keperluan penting.
- Bayar penuh dalam tempoh 1 bulan kalau tak nak faedah tinggi.
- Elakkan guna kalau anda tahu kewangan agak ketat bulan depan.
- Sentiasa semak baki hutang dalam aplikasi.
Baca juga:
- Ryt Bank: Bank Digital Pertama Malaysia dengan Teknologi AI
- AEON Bank Bakal Melancarkan Bank Digital Islamik Pertama Malaysia
Secara keseluruhannya, Ryt PayLater memang menarik untuk mereka yang nak cuba konsep BNPL dengan selamat. Had kredit yang sederhana (RM1,499) buat ia lebih terkawal, dan 0% faedah untuk 1 bulan memang satu kelebihan berbanding pesaing lain.
Tapi macam biasa, semua bergantung pada cara anda mengurus kewangan. Kalau bijak guna, ia boleh jadi alat yang memudahkan hidup. Kalau silap langkah, ia boleh jadi beban.