JAKARTA, 17 April 2025 – Selepas tujuh tahun melayari bahtera perkahwinan, hubungan pasangan selebriti terkenal Indonesia, Baim Wong dan Paula Verhoeven akhirnya terlerai apabila Mahkamah Pengadilan Agama Jakarta Selatan mengesahkan perceraian mereka, semalam.
Baim Wong Ceraikan Paula Verhoeven Kerana Curang
Dalam keputusan yang diumumkan oleh hakim Suryana, mahkamah menerima permohonan cerai yang difailkan oleh Baim selepas beliau berjaya membuktikan wujudnya orang ketiga dalam rumah tangga mereka, sekaligus membenarkan talak satu terhadap Paula.
“Sepanjang persidangan, terbukti berlakunya pertengkaran rumah tangga yang berpunca daripada tindakan nusyuz isteri dan kehadiran pihak ketiga. Mahkamah juga mendapati Paula tidak menjaga kehormatan sebagai seorang isteri,” ujar Suryana dalam prosiding semalam.
Baca lagi | Farid Kamil dan Diana Danielle Cerai Kali Kedua
Tuntutan Nafkah Isteri Baim Wong, Paula Verhoeve Ditolak Mahkamah
Paula yang pada awalnya menuntut nafkah edah sebanyak Rp200 juta (kira-kira RM52,418) sebulan selama tiga bulan dan nafkah madiah sebanyak Rp100 juta (RM26,209) sebulan selama lapan bulan, tidak mendapat sebarang pampasan kerana mahkamah memutuskan beliau tidak layak berdasarkan statusnya sebagai isteri nusyuz.
Baca lagi | Isteri Edika Yusof Tuntut Cerai
Kronologi Perceraian Baim Wong, Paula Verhoeve
Permohonan cerai difailkan oleh Baim pada 7 Oktober 2024, selepas beliau mendakwa Paula berlaku curang. Tuduhan tersebut pada mulanya dinafikan Paula, namun bukti-bukti yang dikemukakan termasuk rakaman perbualan dan gambar memperkukuhkan dakwaan Baim.
Pasangan ini berkahwin pada November 2018 dan dikurniakan dua anak lelaki – Kiano yang kini berusia 3 tahun dan Kenzo yang berumur 2 tahun.
Walaupun hubungan suami isteri berakhir, mahkamah memutuskan bahawa hak penjagaan dua anak mereka dikongsi secara adil. Baim dan Paula diberi tanggungjawab bergilir menjaga anak-anak selama dua minggu secara berselang.
Perceraian Baim dan Paula menjadi antara peristiwa yang mencuri perhatian media dan peminat hiburan di Indonesia. Isu melibatkan selebriti, apatah lagi membabitkan dakwaan curang dan tuntutan nafkah, sering kali menjadi tajuk utama perbincangan awam.