Setelah hampir 14 tahun ditutup, piramid tertua yang masih berdiri di Mesir telah dibuka semula kepada orang ramai. Piramid yang digelar Djoser itu berketinggian 200 kaki, dan dipercayai menjadi piramid pertama di Mesir dan juga bangunan tertua di dunia yang masih kekal!
Piramid Djoser ini dibina sepenuhnya daripada batu-bata oleh arkitek kuno Mesir, Imhotep yang terletak di selatan Cairo di Saqqara necropolis. Ianya telah dibina sekitar 4,700 tahun dahulu dan dipercayai menjadi tempat semadi terakhir (makam) untuk dinasti ketiga, iaitu Firaun Djoser.
Apabila proses pembaikpulihan itu bermula pada tahun 2006, sebelum dihentikan seketika antara 2011 dan 2013 semasa revolusi Mesir, struktur itu seakan bakal runtuh setelah terbiar, hakisan oleh alam sekitar dan kerosakan akibat gempa bumi yang terjadi pada 1992.
Kawasan di dalam piramid tersebut tidak dapat diakses kerana tiang batu dan blok yang menyokong struktur itu sudah agak lemah kerana usia ribuan tahun.
Peter James, seorang jurutera dari Newport, Wales, mula membaikpulih makam yang sedikit runtuh itu pada tahun 2011. Akhirnya, struktur piramid itu cukup selamat untuk dibuka kepada orang ramai, yang sudah agak lama ditutup oleh kerana faktor keselamatan.
James memberitahu kerja-kerja pembaikpulih itu penuh dengan pelbagai risiko. “Ia benar-benar sangat, sangat bahaya,” katanya kepada sidang media dan akhbar semasa makam itu dibuka kepada para media awal bulan Mac ini.
Piramid Djoser adalah berkonsepkan revolusi, prototaip piramid itu menyediakan pelan tindakan “blueprint” untuk semua perkembangan Mesir di masa hadapan, termasuk tiga yang berdiri di sebelah Sphinx di Giza (12 batu ke barat laut).
Sebuah ruang di sekitar 100 kaki bawah tanah di tengah-tengah piramid terletaknya keranda batu (scarcophagus) firaun, tetapi tidak ada mumia atau isi kandungan di dalam keranda itu yang pernah ditemui. Selain itu, terdapat juga tulisan hiroglif dari ‘Book of the Dead’ yang tertulis di salah satu ruang dinding tersebut.