The Malaysia Post

Pestapora 2025: PU Syed Kritik Pemakaian Seksi DOLLA, Seru Tindakan Tegas

Pendakwah bebas terkenal, PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak Benyahya sekali lagi tampil menyuarakan teguran tegas terhadap kumpulan muzik wanita popular, DOLLA, berikutan penampilan mereka yang didakwa terlalu menjolok mata sewaktu menjalani latihan terbuka menjelang festival muzik Pestapora 2025 yang bakal berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam satu hantaran di akaun Instagram miliknya, PU Syed menyifatkan gaya pemakaian kumpulan berkenaan sebagai tidak sopan dan melampaui batas, khususnya dalam konteks norma budaya dan nilai Islam yang diamalkan di negara ini. Beliau turut melahirkan kekecewaannya terhadap pihak berkuasa yang dilihat seolah-olah membiarkan isu ini berlarutan tanpa sebarang tindakan konkrit.

Tampil Seksi di Pestapora 2025, DOLLA Seperti Tak Endahkan Teguran PU Syed

PU Syed mengakui bahawa beliau telah beberapa kali menasihatkan kumpulan tersebut sejak tahun lalu, namun tiada perubahan positif yang berlaku. Dalam nada sinis, beliau turut mengaitkan nama “DOLLA” yang menurutnya menyerupai perkataan Arab “ضل” (sesat), memberi gambaran tentang pengaruh negatif kumpulan itu terhadap anak muda.

“Saya pernah tegur kumpulan DOLLA rasa-rasanya setahun yang lalu. Nama Dolla, bunyinya macam ‘ضَلّ’ yang membawa maksud ‘sesat’. Dan ternyata hampir sama dah… Namun teguran yang saya berikan kepada artis-artis seperti mereka ini diibaratkan seperti mencurah air ke daun keladi,” katanya menerusi Instagram.

“Mereka Sudah Memberi Contoh Buruk Kepada Peminat” – PU Syed

Beliau turut mempersoalkan mengapa artis wanita Muslim masih terus berani berpakaian keterlaluan secara terbuka tanpa mengambil kira sensitiviti agama dan budaya masyarakat Malaysia. Menurutnya, sikap ini bukan sahaja menjejaskan imej industri hiburan tempatan, tetapi turut membentuk persepsi negatif dalam kalangan generasi muda yang menjadikan artis sebagai idola.

“Saya tegas menegur pihak berkuasa agar kuatkuasakan etika berpakaian terhadap rakyat, terutamanya artis serta pempengaruh. Mereka telah menunjukkan contoh yang buruk kepada peminat dan tak pelik jika ramai yang berpakaian tetapi seolah-olah bertelanjang,” tambah PU Syed.

PU Syed Desak Pihak Berkuasa Kawal Gaya Pemakaian Artis Wanita

Dalam teguran yang sama, PU Syed turut menyeru agar pihak berwajib seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tampil lebih tegas dalam mengawal kandungan hiburan dan penampilan selebriti tempatan.

Beliau menegaskan bahawa peranan institusi agama dan kerajaan adalah amat penting dalam membentuk masyarakat berakhlak tinggi dan mengekang gejala yang boleh mencetuskan keruntuhan moral dalam kalangan belia.

Baca juga:

Reaksi daripada pengguna media sosial nyata berbelah bahagi. Ada yang menyokong ketegasan PU Syed dan berpendapat teguran sebegini perlu diberi perhatian oleh artis dan penggiat seni tanah air. Namun begitu, terdapat juga yang menganggap isu ini sebagai kebebasan individu dalam berkarya dan berfesyen.

Seorang pengguna Instagram menulis: “PU Syed hanya menyampaikan teguran dari sudut agama. Tak salah pun kalau artis jaga penampilan. Mereka jadi ikutan, jadi biarlah jadi contoh yang baik.”

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Mesyuarat Khas Bincang Gencatan Senjata Thailand, Kemboja Bermula

Read Next

Jurulatih Hilang Kawalan, Serang Pengadil Dalam Gelanggang Tinju

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *