KUALA LUMPUR: Perbicaraan saman antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan tiga anak syarikatnya menentang Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kini dijadualkan pada 16 Oktober tahun depan di Mahkamah Tinggi. Riza dan dua syarikatnya, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited, didakwa telah menerima sekitar AS$248 juta yang disalahgunakan untuk kepentingan peribadi mereka. Tiga anak syarikat 1MDB yang terlibat dalam tuntutan ini adalah 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, dan 1MDB Energy (Langat) Limited.
Menurut peguam pembela Riza, Desmond Low Zhi Jie, perbicaraan ini akan dijalankan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan. Ia akan diadakan pada 16 hingga 18 Oktober, 21 hingga 25 Oktober, 28 Oktober hingga 1 November, dan 4 November 2024. Hari esok (13 April) dijadualkan untuk pengurusan kes.
Baca lagi | Sambal Nyet Pecah Rekod, 13K Botol Terjual Dalam Dua Minit
1MDB tuntut semula asset yang hilang
Plaintif meminta pengesahan bahawa Riza bertanggungjawab terhadap wang yang disalahgunakan dan menuntut bayaran balik. Namun, Riza dan dua syarikatnya telah memfailkan kenyataan pembelaan pada 25 Oktober 2021, dengan dakwaan bahawa mereka hanya meminjam wang dari keluarga diraja Saudi atau Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa untuk menghasilkan beberapa filem di Amerika Syarikat. Riza menyatakan bahawa sukar bagi pengeluar filem yang tidak dikenali untuk mendapatkan pinjaman bank dan ini telah memaksa beliau mencari dana dari individu atau syarikat.
Pada 7 Mei 2021 yang lalu, plaintif 1MDB dan tiga anak syarikatnya, 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited dan 1MDB Energy (Langat) Limited, telah memfailkan saman terhadap Riza dan dua syarikatnya, Red Granite Pictures Incorporated dan Red Granite Capital Limited, serta firma guaman di Amerika Syarikat, Shearman & Sterling.
Baca lagi | Jari Kelingking Shahronizam Terputus
Saman tersebut merupakan sebahagian daripada tindakan undang-undang yang dilakukan oleh 1MDB terhadap sembilan entiti, termasuk dua institusi kewangan luar dan 25 individu, dalam usaha untuk mendapatkan semula asetnya yang hilang.
Plaintif 1MDB menuntut deklarasi bahawa Riza bertanggungjawab atas dana yang telah dilesapkan dan diterimanya, atas alasan penerimaan berpengetahuan atau penolongan tidak jujur. Ini berikutan dakwaan bahawa firma guaman Shearman & Sterling telah membenarkan Riza dan “sekutunya”, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low), untuk menggunakan akaun klien di firma tersebut untuk mengubah sejumlah besar dana yang diselewengkan.