Parti Islam Se-Malaysia (PAS) tetap teguh untuk membawa usul undi percaya dalam Dewan Rakyat bagi menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga habis penggal.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, usul berkenaan merupakan satu proses demokrasi yang membuka ruang kepada semua Ahli Parlimen dari pelbagai parti untuk bersuara.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, usaha itu juga sekali gus akan melenyapkan tanda tanya siapa yang bakal mengambil alih jawatan Perdana Menteri.
“Ini salah satu proses demokrasi walaupun kita tahu ada orang yang penakut… dengan usul ini kita (PAS) tak takut orang tak sokong pun tak apa, kita biasa dengan kalah kita mahu selamatkan negara.
“Bukan sahaja orang Melayu Islam malah kaum lain juga… adalah lebih baik bagi undi percaya kepada Perdana Menteri yang sudah ada pengalaman memerintah paling lama,” kata Abdul Hadi.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Duha di Masjid Rusila, di sini pada Jumaat.