Penyanyi dan pelakon terkenal, Muhammad Naim Daniel Baharin, atau lebih dikenali sebagai Naim Daniel, mencuri perhatian umum apabila hadir di Mahkamah Sesyen Putrajaya pagi ini susulan dakwaan serius membabitkan kes amang seksual fizikal yang dilakukannya terhadap seorang remaja perempuan bawah umur.
Kes Amang Seksual Remaja Bawah Umur, Naim Daniel Tiba di Mahkamah Putrajaya Bersama Ibu
Kehadiran artis berusia 28 tahun itu pada jam 8.35 pagi bersama ibunya, Nora Taherah, sekaligus mengundang spekulasi luas bahawa beliau adalah individu yang dinamakan dalam siasatan yang sebelum ini dikaitkan dengan kesalahan jenayah seksual di bawah Akta 792 – Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Memakai sut hitam kemas, Naim kelihatan tenang ketika melangkah masuk ke perkarangan mahkamah dan hanya memberikan kenyataan ringkas kepada wakil media.
“Assalamualaikum, saya okay, insya-Allah,” ujar Naim ketika ditanya mengenai kehadirannya pagi ini.
Siasatan dan Tuduhan Rasmi Terhadap Naim Daniel
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, pihak pendakwaan telah menerima arahan daripada Pejabat Pendakwaraya Selangor untuk membawa pertuduhan rasmi terhadap suspek.
Naim bakal didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta 792, iaitu kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang mangsa bawah umur. Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara dan tindakan lanjut jika sabit kesalahan, sekaligus mencerminkan keseriusan jenayah tersebut dalam sistem perundangan Malaysia.
Sejak tersebarnya laporan bahawa seorang selebriti bakal didakwa atas kesalahan seksual, perhatian media dan netizen terus memuncak. Nama Naim menjadi trending di platform media sosial seperti X (Twitter) dan Instagram, dengan pelbagai reaksi ada yang menyokong beliau dan menyeru agar semua pihak memberi ruang kepada proses perundangan, sementara ada juga yang meluahkan kekecewaan terhadap selebriti yang sebelum ini disanjung ramai.
Latar Belakang dan Kerjaya Naim Daniel
Naim Daniel antara artis yang tidak asing dalam industri seni tanah air dan beliau pernah memenangi Anugerah Bintang Popular BH dan membintangi pelbagai drama hit, termasuk Projek High Council, beliau sering digambarkan sebagai artis muda berbakat dan bebas kontroversi. Namun, kes terkini ini dilihat sebagai tamparan besar terhadap reputasi beliau dalam dunia hiburan.
Baca juga:
- PU Azman Dijatuhi Hukuman 24 Tahun Penjara dan Dua Sebatan atas Kes Amang Seksual
- Pendakwah Selebriti PU Azman Dipenjara Lagi Enam Tahun dan Sebatan
Prosiding Mahkamah Kes Amang Seksual Remaja Bawah Umur Seterusnya
Setakat artikel ini ditulis, tiada kenyataan rasmi daripada pihak peguam Naim atau wakil keluarganya. Pihak mahkamah dijangka menetapkan tarikh sebutan kes dalam tempoh terdekat. Semua pihak dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi lanjut yang boleh mengganggu prosiding undang-undang.