KUALA LUMPUR, 9 April 2025 – Sebuah kereta mewah berjenama Lamborghini yang dipandu oleh seorang lelaki warganegara China telah disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan di Jalan Bangsar malam tadi. Tindakan tersebut diambil selepas pihak berkuasa mendapati individu berkenaan, yang juga merupakan seorang content creator, telah memandu tanpa memiliki lesen memandu yang sah.
Lelaki berusia 28 tahun itu dikenali sebagai seorang content creator yang aktif di media sosial, dipercayai memuat naik kandungan berkaitan gaya hidup mewah termasuk pemanduan kereta berprestasi tinggi. Ketika ditahan oleh anggota penguatkuasa, dia sedang memandu pulang ke Damansara Heights bersama teman wanitanya selepas makan malam di sebuah restoran makanan segera di Kepong.
JPJ Sita Lamborghini: Content Creator Tiada Lesen Memandu Sah, Hanya Tunjuk Pasport
Menurut Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam, content creator warga China tersebut gagal untuk mengemukakan lesen memandu yang sah apabila ia diminta oleh pihak penguat kuasa. Sebaliknya, dia hanya menunjukkan pasport dan mendakwa telah menetap di negara ini selama tujuh tahun.
Hamidi turut menegaskan bahawa kegagalan mana-mana individu untuk memiliki lesen memandu sah merupakan satu kesalahan serius di bawah undang-undang jalan raya di Malaysia dan tindakan memandu tanpa lesen bukan sahaja melanggar peraturan, malah ia juga turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
Baca lagi | Ryan Bakery Menang Dalam Content Creator Gempak Most Wanted 2023
Ops JPJ: Salah Seorang Daripada 211 Pemandu Yang Dikenakan Tindakan
Operasi bersepadu yang dijalankan bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) itu turut menyasarkan pelbagai kesalahan trafik dan dokumen sah kenderaan serta pemandu.
Lelaki berkenaan merupakan antara 211 individu yang dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan lalu lintas. Dalam operasi tersebut, sebanyak 27 kenderaan telah disita, termasuk 24 buah motosikal, dua kenderaan barangan dan Lamborghini yang dipandu lelaki itu.
Baca lagi | 6 Tips Untuk Content Creator Berjaya Di Threads Paling Mudah
Lamborghini Content Creator Warga China Disita dan Dibawa ke JPJ Wangsa Maju
Lamborghini berwarna putih yang dipandunya telah disita di lokasi kejadian dan dibawa ke pejabat JPJ Wangsa Maju untuk siasatan serta tindakan lanjut.
Hamidi menegaskan bahawa JPJ akan terus memperketatkan penguatkuasaan terhadap pemandu yang tidak mematuhi peraturan jalan raya, termasuk mereka yang memandu tanpa lesen sah atau menggunakan kenderaan tanpa dokumen lengkap.