The Malaysia Post

Kes Jalur Gemilang Tidak Lengkap: Kertas Siasatan Sudah Dirujuk ke Pejabat Peguam Negara

PETALING JAYA, 19 April 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengorak langkah seterusnya dalam siasatan berhubung insiden penyiaran imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap oleh sebuah akhbar berbahasa Cina. PDRM turut memaklumkan bahawa kertas siasatan berhubung insiden berkenaan telah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) semalam bagi pertimbangan dan tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan bahawa seramai 54 individu telah selesai dirakam keterangan setakat ini, termasuk beberapa anggota editorial akhbar terbabit. Beliau turut menjelaskan bahawa siasatan masih berjalan dan beberapa lagi saksi akan dipanggil dalam masa terdekat mengikut keperluan siasatan semasa.

Kes Jalur Gemilang Tidak Lengkap: Kesilapan Teknikal atau Kecuaian Akhbar China?

Dalam keterangannya kepada pihak berkuasa, pengurusan akhbar tersebut mendakwa bahawa insiden terbabit berpunca daripada kesilapan teknikal semasa proses penyiaran, bukanlah disengajakan.

Walau bagaimanapun, penyiaran imej Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar tersebut sempena liputan lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia pada Selasa lalu tetap mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat. 

Insiden tersebut turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menegur pihak pengurusan dan jabatan editorial akhbar berkenaan kerana kurang peka dalam memastikan ketepatan kandungan sebelum disiarkan kepada umum.

Baca lagi | Jangan Main Isu Bendera di Teluk Intan – Syahredzan

Permohonan Maaf dan Tindakan Siasatan Terhadap Akhbar Cina Sin Chew Daily

Ekoran insiden itu, pihak akhbar telah mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka, menyatakan bahawa kesilapan tersebut berlaku tanpa disengajakan dan mereka komited untuk memperbaiki kawalan kualiti editorial.

Namun, Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting akhbar Sin Chew Daily telah ditahan oleh pihak polis pada Khamis lalu bagi membantu siasatan kes Jalur Gemilang tidak lengkap ini.

Baca lagi | Bendera China Penuhi Putrajaya Sempena Lawatan Xi Jinping ke Malaysia

Kes ini disiasat di bawah dua peruntukan undang-undang iaitu:

  • Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963
  • Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Umisya Mazlan Jadi Mangsa Keadaan? Netizen Simpati Nasib Isteri Pertama Aslam

Read Next

Tiada Permit, Tiada Akses: Arab Saudi Perketat Pintu Masuk ke Makkah

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *