The Malaysia Post

Kes Dera: Lima Pegawai Kadet UPNM Ditamatkan Perkhidmatan ATM, Dikenakan Ganti Rugi

Kuala Lumpur, 27 November 2024 – Lima pegawai kadet (PK) dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terlibat dalam tiga kes penganiayaan terhadap rakan kadet telah ditamatkan perkhidmatan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Keputusan yang dibuat pihak ATM ini turut menyaksikan kelima-lima mereka dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan Malaysia, berdasarkan kos yang telah dikeluarkan sepanjang tempoh pengajian mereka.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, menyatakan bahawa tindakan tegas ini diambil setelah Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) meluluskan syor daripada Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) terhadap kelima-lima pegawai kadet terbabit.

Kes Dera Pegawai Kadet UPNM 1: Tekapan Seterika Pada Dada Mangsa Dera

Kes dera yang pertama melibatkan Pegawai Kadet Muhammad Salman Mohd Saiful Surash sebagai mangsa dan pelaku, Pegawai Kadet Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan. Kejadian ini dipercayai terbongkar selepas jurulatih bertugas mendapati terdapat kesan kecederaan pada dada mangsa semasa pemeriksaan berkala.

Siasatan yang dilakukan pihak berwajib telah mendapati Pegawai Kadet Amirul Iskandar, seorang pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (Pengambilan 2021), telah melakukan penganiayaan fizikal. Pelaku telah:

  • Dibatalkan pelantikan sebagai PK.
  • Ditamatkan perkhidmatan dalam ATM.
  • Dikenakan ganti rugi sebanyak RM44,600.20.

Pegawai Kadet Amirul Iskandar telah pun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 8 November 2024 yang lalu. Prosiding kes ini masih berjalan.

Baca lagi | 7,500 anggota ATM turun padang untuk pertingkatkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan

Kes Dera Pegawai Kadet UPNM 2: Hukuman Pembetulan Melampaui Batas

Kes kedua melibatkan Pegawai Kadet Alief Ahsreihan Ahslemy sebagai mangsa, dengan dua pelaku dikenalpasti:

  1. Pegawai Kadet Izzat Izuddin Mohammad Arif (Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan, Pengambilan dilakukan pada tahun 2021).
  2. Pegawai Kadet Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan (Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer, Pengambilan dilakukan pada tahun 2023).

Pelaku-pelaku ini melaksanakan tindakan hukuman pembetulan yang bertentangan dengan Perintah Tetap PK ALK, termasuk arahan kerja peribadi kepada mangsa. Akibatnya:

  • Pegawai Kadet Izzat dikenakan ganti rugi RM48,452.75.
  • Pegawai Kadet Muhammad Hidayat dikenakan ganti rugi RM19,481.70.

Baca lagi | https://themalaysiapost.com/atm-sahkan-enam-anggota-malbatt-malaysia-cedera-dalam-letupan-di-lubnan%ef%bf%bc/

Kes Dera Pegawai Kadet UPNM 3: Gangguan Emosi dan Kecederaan Fizikal

Kes yang ketiga pula membabitkan mangsa Pegawai Kadet Yeong Kian Rui, dengan pelaku Pegawai Kadet Ammar Hafiy Muhammad Habib. Siasatan mendapati pelaku telah menyebabkan kecederaan tisu lembut (soft tissue injury) pada bahagian belakang bawah mangsa.

Pegawai Kadet Ammar Hafiy, yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pengambilan 2022), juga turut dikenakan tindakan iaitu:

  • Dibatalkan pelantikan sebagai PK.
  • Ditamatkan perkhidmatan dalam ATM.
  • Dikenakan ganti rugi RM32,115.95.

Komitmen Kementerian Pertahanan dalam Menangani Kes Dera Pegawai Kadet UPNM

Mohamed Khaled Nordin turut menegaskan bahawa pihak Kementerian Pertahanan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penganiayaan yang dilakukan dalam mana-mana institusi ketenteraan. Beliau berkata kementerian akan terus meningkatkan mekanisme pencegahan bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang. 

Beliau berharap agar keputusan ini akan menjadi pengajaran kepada semua pihak dan dapat memperkukuh nilai-nilai ketenteraan yang seharusnya diamalkan dalam institusi ketenteraan negara.

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Irwan Serigar Dan Najib Tun Razak Dilepaskan Tanpa Bebas Dalam Kes Pecah Amanah RM6.6 Bilion

Read Next

Penyokong Imran Khan Batalkan Protes Selepas Serbuan di Islamabad

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.