Kementerian Kewangan (MOF) hari ini mengumumkan bahawa Belanjawan 2026 akan dibentangkan di Parlimen pada 10 Oktober 2025, menandakan permulaan penting kepada agenda ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026-2030.
Pembentangan Belanjawan 2026 Selaras RMK13 Bermula 2026-2030
Menurut kenyataan rasmi Prabelanjawan 2026, MOF menegaskan bahawa penyediaan belanjawan kali ini akan melibatkan perundingan menyeluruh bersama pihak berkepentingan termasuk rakyat, sektor swasta, industri, badan bukan kerajaan dan pakar ekonomi. Pendekatan ini selaras dengan visi Ekonomi MADANI yang memfokuskan kepada pertumbuhan inklusif, keadilan sosial dan tadbir urus yang telus.
“Kerajaan komited untuk menterjemahkan input yang diterima ke dalam Belanjawan 2026, terutamanya inisiatif yang mampu memacu pemerkasaan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan memperkukuh tata kelola negara,” jelas kenyataan itu.
MOF Fokus Tiga Tonggak Ekonomi MADANI Dalam Belanjawan 2026
Belanjawan 2026 merupakan siri keempat Belanjawan MADANI, yang direka bagi menyokong Kerangka Ekonomi MADANI – strategi jangka panjang untuk memulihkan daya tahan fiskal, mengukuhkan asas ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Tiga tonggak utama yang menjadi tunjang belanjawan 2026 pada kali ini di bawah kerajaan Madani ialah:
- Menaikkan siling pertumbuhan negara – merangsang aktiviti ekonomi berdaya saing.
- Meningkatkan lantai taraf hidup rakyat – memastikan kesejahteraan sosial yang saksama.
- Memacu pembaharuan dan tadbir urus baik – memperkukuh integriti serta ketelusan kerajaan.
MOF turut memaklumkan bahawa ini adalah belanjawan pertama dalam era RMK13, yang akan menggariskan dasar pembangunan lima tahun seterusnya.
Belanjawan 2026: Agenda Ekonomi Jangka Panjang Malaysia
Mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global, peningkatan kadar faedah, risiko geopolitik serta persaingan ekonomi serantau, MOF menegaskan bahawa Belanjawan 2026 akan mengimbangi agenda jangka panjang dan cabaran jangka pendek.
Langkah-langkah yang akan diberi keutamaan termasuk:
- Memastikan pertumbuhan ekonomi berterusan walaupun berdepan risiko luaran.
- Menyediakan bantuan bersasar berteraskan keberhasilan bagi meringankan kos sara hidup yang sedang membelenggu rakyat.
- Memperkukuh daya tahan ekonomi negara melalui pelaburan strategik dan inovasi teknologi.
- Memperluas pendekatan berasaskan komuniti dalam pembangunan dasar awam.
Baca juga:
- Perdana Menteri Hadir Khutbah Jumaat Sebelum Pembentangan Belanjawan 2025
- Belanjawan 2025: Anwar Dijangka Bawa Harapan Baru pada 18 Oktober
Belanjawan 2026: Strategi Lindungi Ekonomi & Kesejahteraan Rakyat
MOF menekankan bahawa Belanjawan 2026 akan berorientasikan rakyat, di mana keperluan komuniti dijadikan nadi kepada setiap dasar. Inisiatif ini dijangka akan memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan bernilai tinggi, infrastruktur mampan, serta sokongan keusahawanan.
Proses perundingan awam juga akan diperkasa melalui portal rasmi belanjawan di pautan https://belanjawan.mof.gov.my, membolehkan rakyat memberikan pandangan, cadangan dan komen secara terus kepada Kementerian Kewangan.
Dengan pembentangan rasmi pada 10 Oktober nanti, pemerhati ekonomi menjangkakan Belanjawan 2026 bakal menjadi pelan tindakan yang lebih strategik, inklusif dan berpandangan jauh dalam menghadapi landskap ekonomi global yang semakin mencabar.