Sudah 16 tahun berlalu sejak kematian mengejut Teoh Beng Hock dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Walaupun begitu, tragedi itu masih lagi belum mampu mengubat luka di hati keluarga mendiang. Hari ini, sebuah bab baru bakal terbuka semula dalam kes penuh kontroversi itu.
Difahamkan, keluarga mendiang dijangka akan mengadakan satu sidang media khas pada jam 7 malam ini di Kuala Lumpur. Acara tersebut dianjurkan oleh Teoh Beng Hock Association for Democratic Advancement (TBH-ADA) bersama ahli keluarga sendiri sebagai reaksi terhadap permohonan maaf rasmi yang diutarakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pagi tadi.
Kenapa Sidang Media Ini Penting Bagi Keluarga Teoh Beng Hock?
Menurut jemputan yang diedarkan kepada media, sidang media ini akan menjadi pentas buat keluarga Beng Hock untuk menyatakan pendirian mereka berkenaan permohonan maaf dan juga tawaran “sumbangan ihsan” daripada SPRM kepada anak mendiang.
Permohonan maaf itu dikemukakan tepat pada ulang tahun ke-16 kematian Beng Hock yang disifatkan sebagai antara tragedi terbesar yang pernah melanda institusi penguatkuasaan negara.
Apa Kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki?
Dalam kenyataan rasmi beliau, Azam Baki menyatakan SPRM tidak pernah memandang ringan insiden yang berlaku pada 16 Julai 2009, apabila Beng Hock, 30 tahun, yang juga Setiausaha Politik kepada EXCO Selangor ketika itu, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam. Kematian ini juga telah mengejutkan ramai pihak apabila mendiang dilaporkan meninggal dunia selepas disoal siasat semalaman oleh SPRM.
“Walaupun siasatan terbaru tidak menemui bukti mencukupi untuk mendakwa mana-mana individu, SPRM tetap mengambil serius kejadian ini,” katanya. Beliau turut menyuarakan simpati dan memohon maaf kepada keluarga Beng Hock atas penderitaan yang ditanggung selama ini.
SPRM juga memaklumkan kesediaan untuk memberikan sumbangan berbentuk kewangan sebagai tanda keprihatinan kepada keluarga, terutamanya kepada anak mendiang yang kini sudah meningkat remaja.
Baca juga:
Isu Kematian Teoh Beng Hock Yang Masih Membara
Mahkamah Rayuan pada 2014 telah membuat keputusan mengejutkan apabila menyatakan bahawa kematian Beng Hock berpunca daripada perbuatan satu atau lebih individu tidak dikenali ketika dalam tahanan SPRM. Namun, tiada siapa yang pernah didakwa secara rasmi.
Pada Mei lalu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan bahawa kertas siasatan terkini diklasifikasi sebagai No Further Action (NFA) selepas Peguam Negara meneliti keseluruhan dokumen berkaitan.
Siasatan itu adalah susulan arahan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November tahun lalu supaya siasatan dilengkapkan dalam tempoh enam bulan. Namun, harapan untuk keadilan masih tampak kabur.