Personaliti media sosial dan juga selebriti tanah air, Ira Kazar, tampil meluahkan prinsip peribadi beliau untuk tidak mendedahkan aib sesiapa, meskipun pernah berdepan dengan situasi dianiaya dalam kehidupan.
Menurut perkongsian di platform Threads, sebuah rakaman video menunjukkan Ira menegaskan bahawa tindakan mendedahkan aib seseorang bukanlah penyelesaian yang bijak, sebaliknya hanya membawa kepada penyesalan jangka panjang serta kesan dosa yang kekal.
Ira Kazar Hormat Privasi, Enggan Buka Aib
Dalam klip video tersebut, Ira menyatakan:
“Kita kena jaga aib orang. Untuk apa kita nak buka? Untuk bersihkan nama dan nampak diri kita betul? Kepuasan itu sekejap sahaja, tetapi dosanya akan kekal selama-lamanya.”
Ira turut menyentuh mengenai kecenderungan sesetengah individu yang gemar berkongsi kisah peribadi untuk meraih simpati dan sokongan daripada netizen. Namun bagi dirinya, tindakan sedemikian tidak wajar dilakukan, walaupun mendapat tekanan daripada masyarakat.
Ira menekankan bahawa diam lebih baik daripada membalas keburukan dengan keburukan. Katanya, menjaga maruah orang lain akan membuka jalan untuk Allah menjaga maruah kita pula. Beliau juga menyarankan orang ramai supaya berfikir panjang sebelum bertindak meluahkan sesuatu di ruang media sosial.
Baca juga:
- “Dengan Syamsul Yusof Balik Ke?” – Ira Kazar Timbulkan Tanda Tanya Netizen
- Ira Kazar Failkan Pengesahan Cerai Taklik Syamsul Yusof, Ada Kaitan Posting di Media Sosial
Latar Belakang Hubungan Ira Kazar Bersama Syamsul Yusof
Untuk rekod, Ira Kazar pernah mencetuskan perhatian ramai apabila beliau disahkan sebagai isteri kedua kepada pengarah terkenal, Syamsul Yusof. Pasangan tersebut dilaporkan bernikah di Songkhla, Thailand pada 6 Januari 2023, ketika Syamsul masih dalam perkahwinan dengan pelakon Puteri Sarah Liyana.
Namun, hubungan mereka tidak bertahan lama. Ira dan Syamsul disahkan bercerai talak satu pada 5 September 2024, sekali gus menamatkan spekulasi yang hangat diperkatakan di kalangan media dan peminat hiburan tempatan.