Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara rasmi menafikan sebarang dakwaan bahawa ibu pejabat serantau mereka di Asia-Oceania akan dipindahkan dari Kuala Lumpur ke Jakarta, Indonesia.
Nafi Berpindah ke Jakarta, Ibu Pejabat FIFA Kekal di Kuala Lumpur
Penafian ini dibuat susulan spekulasi yang semakin tular di media sosial dan beberapa saluran berita luar negara, mendakwa bahawa badan induk bola sepak dunia itu bakal menukar lokasi operasi mereka ke negara jiran dalam masa terdekat.
New Straits Times (NST) melalui maklumat yang diperoleh dari sumber dalaman terdekat FIFA, melaporkan pejabat serantau FIFA di KL Eco City masih beroperasi, malah sehingga ke hari ini FIFA tiada sebarang perancangan untuk pihaknya berpindah ke Jakarta, Indonesia.
“Pejabat FIFA di Kuala Lumpur kekal aktif dan terus memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan bola sepak rantau Asia-Oceania. Khabar angin mengenai pemindahan ini adalah tidak berasas dan tidak menggambarkan realiti sebenar,” ujar sumber tersebut.
Malaysia Kekal Lokasi Strategik FIFA di Asia-Oceania
Ibu pejabat serantau FIFA bagi rantau Asia-Oceania telah mula beroperasi secara rasmi di ibu negara Malaysia sejak tahun 2018 dan ia dibangunkan di bawah inisiatif pembangunan bola sepak global yang dikenali sebagai Forward Program. Forward Program merupakan satu strategi utama FIFA untuk memperkasa dan menyokong pertumbuhan bola sepak di seluruh dunia, khususnya di negara-negara yang sedang membangun.
Pejabat ini kini diketuai oleh Sanjeevan Balasingam, yang memegang jawatan sebagai Pengarah FIFA Asia-Oceania, dan telah memainkan peranan penting dalam merangka pelan pembangunan, kolaborasi teknikal, serta pengagihan dana untuk pertubuhan bola sepak kebangsaan di Asia dan Oceania.
Indonesia Perlu Fokus Kepada Isu Dalaman Bola Sepak
Penganalisis industri sukan melihat bahawa desas-desus pemindahan ibu pejabat FIFA ke Indonesia mungkin timbul berikutan keghairahan Indonesia untuk memperkukuh kedudukannya di arena bola sepak global. Namun begitu, beberapa pihak menyarankan agar negara itu terlebih dahulu menyelesaikan isu-isu dalaman seperti struktur liga, pengurusan FA, dan integriti sukan.
Malah, pada minggu lalu, FIFA juga dilaporkan telah memberi amaran kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Indonesia, Erick Thohir, berhubung beberapa isu pengurusan yang boleh menjejaskan reputasi negara dalam arena antarabangsa.
Baca juga:
- Mexico City Bersedia Sambut Peminat Piala Dunia FIFA 2026
- Slogan Rasmi untuk Piala Dunia FIFA 2030 “Yalla Vamos”
Komitmen Berterusan FIFA Terhadap Malaysia
Dalam kenyataan terbaru, FIFA memaklumkan pihaknya melihat Malaysia sebagai salah satu hab strategik bagi pembangunan sukan bola sepak di rantau ini. Ujarnya lagi, Malaysia menawarkan infrastruktur yang mantap, kestabilan politik serantau, dan kemudahan logistik, menjadikan Kuala Lumpur sebagai lokasi ideal untuk operasi pejabat serantau FIFA.
Sebagai tambahan, Malaysia telah memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kedudukan bola sepak Asia melalui kolaborasi bersama AFC dan pelbagai entiti sukan global.
Penafian rasmi daripada FIFA ini sekaligus menamatkan spekulasi yang tidak berasas. Hal ini secara tidak langsung memberikan satu kelegaan kepada penggiat industri bola sepak Malaysia. Dengan sokongan berterusan dari FIFA, Malaysia diyakini akan terus menerus menjadi pusat penting dalam pembangunan bola sepak Asia dan Oceania untuk tahun-tahun yang bakal mendatang.