KUALA LUMPUR, 1 Mei 2025 – Isteri kepada pelawak kontroversi, Shuk Sahar, iaitu Fara Salleh, memohon agar bekas suaminya itu memberikan kerjasama dalam proses pengesahan pendaftaran pernikahan dan lafaz cerai mereka.
Pengesahan Nikah Fara Salleh dan Shuk Demi Masa Depan Anak
Fara, yang kini sedang sarat hamil tujuh bulan, menyatakan bahawa segala proses pengesahan perlu diselesaikan segera agar anak yang bakal dilahirkan pada bulan Jun nanti dapat berbintikan bapanya secara sah.
“Saya kena buat pengesahan pendaftaran sebab anak kami nanti tidak boleh bin atau binti dia (Shuk). Kami memang sudah rasmi bercerai, cuma sekarang saya dalam fasa pendaftaran. Nak atau tak nak, saya mahu anak saya berbinti bapanya,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa hanya selepas urusan pendaftaran nikah selesai, barulah pengesahan lafaz cerai boleh diproses di mahkamah.
“Saya ada bukti lafaz dan saya kena ke mahkamah untuk sahkan. Agen dari Satun, Thailand hubungi saya memaklumkan bahawa Shuk mahu lafaz cerai. Saya setuju sebab memang kami rancang nak bercerai.”
Namun begitu, Fara meluahkan rasa kesal kerana Shuk memilih untuk menceraikannya melalui telefon ketika berada di luar negara tanpa berbincang secara bersemuka.
Shuk Tidak Hadir ke Mahkamah
Fara turut memaklumkan bahawa proses pengesahan telah tergendala sebelum ini kerana Shuk tidak hadir ke mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan, menyebabkan kelewatan hampir sebulan.
“Dia tidak hadir sebelum ini, jadi sudah melambatkan proses. Saya rugi masa. Tapi untuk tarikh seterusnya, saya sudah beritahu dia melalui orang tengah. Saya harap dia hadir sebab cukup kalau dia datang sekali sahaja.”
Walaupun kecewa, Fara tetap berusaha menyelesaikan segala urusan secara sah demi masa depan anak mereka.
Baca juga:
- Fara Salleh Dihina Shuk Sahar, Dituduh Mengandung Anak Haram
- Bekas Isteri Syuk, Rossa Sera Didakwa Jadi Penyondol
Kesihatan & Emosi Fara Salleh Semasa Hamil
Dalam masa yang sama, Fara berkongsi keadaan kesihatannya yang sedikit terjejas disebabkan kehamilan yang semakin besar, ditambah pula dengan masalah jantung yang dialaminya.
“Sekarang kandungan saya berusia tujuh bulan lebih. ‘Baby’ okay, tapi saya cepat semput dan aktiviti saya terbatas. Emosi saya juga kadang-kadang tak menentu, tapi kebanyakannya saya okay.”
Fara kini tinggal bersama ibu bapanya dan ditemani adik perempuannya bagi memastikan dirinya mendapat sokongan emosi dan fizikal yang diperlukan.
Latar Belakang Perkahwinan Fara Salleh dan Shuk
Sebagai info, Fara dan Shuk mendirikan rumah tangga pada November 2023. Sebelum itu, Shuk pernah berkahwin dengan Rossa Sera dan dikurniakan dua anak perempuan sebelum mereka bercerai pada 22 Mac 2023.