Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin kembali menjawat peranan dalam tampuk kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas dilantik sebagai Presiden Kehormat FAM dalam satu sesi Kongres Luar Biasa yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Subang hari ini.
Presiden Kehormat FAM: Tan Sri Hamidin Kembali Dalam Pentadbiran Bola Sepak Negara
Melalui kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh badan induk bola sepak negara itu, pelantikan sebagai Presiden Kehormat FAM telah dipersetujui sebulat suara oleh ahli Kongres dalam sesi Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2025 yang berlangsung pagi tadi.
“Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bersidang pada Kongres Luar Biasa FAM Pertama 2025 pada Isnin, 30 Jun 2025 telah meluluskan pelantikan mantan Presiden FAM, Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin sebagai Presiden Kehormat FAM,” menurut kenyataan FAM.
Pelantikan Tan Sri Hamidin dibuat berdasarkan kepada kredibiliti, pengalaman luas, serta sumbangan besar beliau kepada pembangunan bola sepak tanah air, meliputi semua peringkat iaitu daripada akar umbi sehinggalah ke peringkat antarabangsa selama lebih tiga dekad.
FAM turut menjelaskan bahawa penganugerahan gelaran ini adalah selaras dengan Artikel 22 Statut FAM, yang memberikan kuasa kepada Kongres FAM untuk mengiktiraf dan memberi penghormatan kepada individu yang telah memainkan peranan penting dalam pembangunan bola sepak negara.
Peranan dan Had Kuasa Tan Sri Hamidin Sebagai Presiden Kehormat FAM
Sebagai Presiden Kehormat, Tan Sri Hamidin diberikan hak untuk menghadiri sesi Kongres FAM dan menyertai sesi perbahasan, namun beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengundi dalam sebarang keputusan atau pemilihan yang dibuat oleh badan tersebut.
Pelantikan ini turut mendapat perakuan daripada Jawatankuasa Eksekutif FAM yang mencadangkan nama beliau berdasarkan merit dan sumbangan yang signifikan terhadap kemajuan bola sepak Malaysia.
Baca juga:
- Hamidin Buat Keputusan Bijak Tidak Pertahan Jawatan Presiden FAM, Kata Kamarul Ariffin
- FAM Lancar Jersi Baharu Harimau Malaya di Sunway Pyramid Mall
Tan Sri Hamidin Ikut Jejak Langkah Sultan Ahmad Shah
Sebelum ini, gelaran Presiden Kehormat FAM hanya pernah dianugerahkan sekali, iaitu kepada Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah pada tahun 2014. Baginda merupakan Presiden FAM selama tiga dekad dari tahun 1984 hingga 2014, dan dikenang atas kepimpinan yang membawa banyak kejayaan kepada sukan bola sepak negara.
Pelantikan terkini ini dilihat sebagai penghormatan tertinggi kepada Tan Sri Hamidin yang sebelum ini telah berkhidmat sebagai Presiden FAM sejak tahun 2018 hingga 2023, sebelum melepaskan jawatan itu atas faktor kesihatan dan memberi ruang kepada kepimpinan baharu.