Hubungan kekeluargaan antara pelakon popular tanah air, Anna Jobling, dan ibunya, Ariz Arop, dilihat semakin tegang apabila Ariz tampil membuat pendedahan mengejutkan di media sosial dan di hadapan pihak polis.
Ibu Anna Jobling Dakwa Diperlakukan Seperti ‘Anjing Kurap’
Dalam satu video yang tular di platform media sosial, Ariz dilihat menangis teresak-esak di hadapan sebuah balai polis sambil menceritakan rasa terkilan dan kecewanya terhadap sikap anaknya yang didakwa berubah sejak bergelar selebriti terkenal.
Ariz mendakwa, segala pengorbanan yang dicurahkan demi membesarkan Anna kini seolah-olah tidak dihargai, malah beliau merasakan dirinya diperlakukan seperti “anjing kurap” oleh anak kandungnya sendiri.
“Adik (Anna) sudah terkenal, jangan lupa asal-usul. Tetapi tergamak dia, Walaupun ada beri duit, adakah itu bermakna boleh melayan saya begini? Dah macam taraf anjing kurap dah.
“Saya bergadai, bergolok dan jual kereta serta barang kemas hanya untuk kembali hidup bersamanya di Kuala Lumpur,” katanya.
Ariz Arop Luah Kekecewaan Terhadap Anna Jobling, Sanggup Guna Peguam
Lebih menyedihkan, Ariz turut mendedahkan bahawa Anna, atau nama penuhnya Anna Ellisa Gustin Jobling, 25, sanggup mendapatkan khidmat peguam semata-mata untuk mengelak berada dalam satu kenderaan dengannya.
“Saya pernah menjadi pemandu tidak bergaji, menghantarnya ke sana sini tanpa mengeluh. Saya tidak meminta kemewahan, hanya mengharapkan sedikit budi seorang anak. Namun, sanggup dia mengambil langkah sedemikian seolah-olah saya ingin mencederakannya,” ujarnya.
Ariz menegaskan bahawa isu yang timbul sebenarnya berpunca daripada rasa tidak puas hati kedua-dua pihak, namun tidak menyangka ia boleh sampai ke tahap melibatkan tindakan undang-undang.
Dalam satu hantaran di media sosial, Ariz turut meninggalkan pesanan menyentuh hati yang ditujukan secara langsung kepada Anna.
“Pergi balik jadi pemandu tak bergaji, bawa dia ke sana sini. Ingatkan bolehlah tumpang senang. Saya tak minta kemewahan, cuma harapkan kebaikan seorang anak.
“Sebenarnya tiada apa-apa pun, masalah itu berpunca daripada rasa tidak puas hati kedua-dua pihak.
“Tapi tak sangka dia boleh panggil peguam, seolah-olah saya nak bunuh dia,” luahnya.
Baca juga:
- “No Bikini, No Seksi!” – Anna Jobling Dedah Syarat Berlakon
- Anna Jobling Berjaya Raih 3 Trofi Di Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-35
Anna Jobling Dituduh Lupa Diri
Pendedahan ini menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat dan warganet, apatah lagi sebelum ini Ariz pernah mendakwa Anna mengenakan perintah injunksi terhadapnya, sekali gus menandakan keretakan hubungan mereka sudah berada di tahap kritikal.
Sementara itu, pihak pengurusan Anna ketika dihubungi media enggan memberikan sebarang komen lanjut. Mereka memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi apabila tiba masanya.
“Terbang setinggi mana kau mahu terbang, tapi jangan lupa dalam setiap kejayaan itu ada doa seorang ibu. Ini yang dikatakan akhir zaman, mak lahirkan tuan,” tulisnya.
“Apa-apa nanti akan diberitahu,” kata wakil pengurusnya ringkas.
Kisah ini bukan sahaja mengundang rasa simpati, malah menimbulkan perdebatan tentang hubungan antara anak dan ibu, terutamanya apabila populariti dan kejayaan kerjaya mula mempengaruhi hubungan kekeluargaan.