The Malaysia Post

China Pulangkan Semula Pesawat Boeing ke AS

BEIJING, 18 April 2025 – Sebuah pesawat penumpang Boeing dilaporkan kembali ke AS dari kilang berhampiran Shanghai, menunjukkan kemungkinan syarikat penerbangan China menangguhkan penerimaan pesawat baharu susulan ketegangan perdagangan China-AS.

Ketegangan Perdagangan AS dan China Semakin Meruncing

Ketegangan antara dua kuasa ekonomi dunia itu semakin ketara sejak Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengumumkan dasar tarif global baharu yang bersifat timbal balik. Walaupun tiada pengesahan rasmi mengenai larangan import ke atas pesawat Boeing oleh China, beberapa sumber industri menyatakan langkah pengembalian pesawat tersebut mungkin berpunca daripada ketidaktentuan dasar perdagangan dan kemungkinan tarif baharu.

Jejak Pesawat dan Data Penjejakan

Menurut data Flightradar24, tiga buah pesawat 737 MAX telah dihantar dari Seattle ke pusat pemasangan Boeing di Zhoushan, China pada bulan Mac, dan satu lagi menyusul minggu lalu. Namun, pada pagi Jumaat, sebuah pesawat dikesan berlepas dari Zhoushan ke Guam — satu laluan biasa ke AS — menunjukkan bahawa pesawat itu sedang dipulangkan semula ke pangkalan asal.

Satu daripada pesawat itu sebelum ini dilaporkan bakal dihantar kepada Xiamen Airlines, dengan corak luaran yang sesuai, manakala pesawat lain yang pernah dikesan di AS membawa logo Shandong Airlines dan Air China.

Impilikasi Terhadap Boeing dan Industri Aeroangkasa

Ketidaktentuan ini mencetuskan kebimbangan bahawa penghantaran pesawat Boeing ke China akan sekali lagi tergendala, sebagaimana yang berlaku sepanjang hampir lima tahun sebelum ini akibat ketegangan politik serta isu keselamatan membabitkan model 737 MAX.

Penganalisis menjangkakan bahawa sekatan jangka pendek terhadap penghantaran ini mungkin tidak memberi kesan besar secara serta-merta kepada Boeing, memandangkan syarikat itu boleh menyalurkan penghantaran kepada pelanggan lain. Namun, dalam jangka masa panjang, China kekal sebagai pasaran strategik dengan potensi pertumbuhan yang tinggi.

Baca lagi | 45 Pesawat dan 9 Kapal China Dikesan, Tingkatkan Ketegangan di Selat Taiwan

China Gesa Henti Pembelian Komponen AS

Pihak berkuasa China dilaporkan telah meminta syarikat-syarikat penerbangan domestiknya untuk menghentikan pembelian alat ganti dan peralatan penerbangan yang berpunca dari Amerika Syarikat, menurut laporan eksklusif Bloomberg.

Meskipun belum terdapat arahan rasmi yang dikeluarkan kepada semua pengeluar dan pembekal komponen dari AS, beberapa syarikat pembekal kini dilaporkan sedang menilai semula kerjasama dan kontrak sedia ada dengan syarikat penerbangan China berikutan perkembangan ini.

Tindakan ini dilihat sebagai sebahagian daripada langkah balas Beijing terhadap ketegangan perdagangan yang semakin meruncing dengan Washington, terutama dalam sektor teknologi dan penerbangan yang strategik.

Dalam masa yang sama, firma seperti Howmet Aerospace dari AS telah mengisytiharkan “force majeure”, menyebabkan rundingan semula kontrak dengan pihak China dan meningkatkan kekeliruan dalam kalangan pembekal serta syarikat penyelenggaraan.

Baca lagi | Boeing Pecat 17,000 Pekerja, Pengeluaran Pesawat 777X Ditangguhkan

Pesanan Tertangguh dan Pajakan Pesawat

Setakat ini, Boeing masih mempunyai lebih 130 pesanan yang belum dipenuhi daripada syarikat penerbangan China, termasuk 96 pesawat jenis 737 MAX. Lebih 760 pesanan lain yang masih belum dinamakan pembelinya dipercayai turut melibatkan pelanggan dari China.

Dengan 55% armada syarikat penerbangan China kini berdasarkan pajakan, banyak syarikat dijangka melanjutkan tempoh pajakan sedia ada bagi mengelak perolehan baharu dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

4 Terbunuh, 1 Cedera Parah Selepas Kereta Kabel Jatuh Gunung di Monte Faito

Read Next

KL City FC Tawar Tiket RM3 kepada Penyokong Muda Sempena Aksi Penutup Liga Super

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *