The Malaysia Post

Banjir kilat di Indonesia ragut lapan nyawa

Angka korban akibat banjir kilat di Yogyakarta meningkat kepada lapan orang, kata sumber rasmi berita, serentak dengan usaha mencari dua lagi mangsa hilang.

Mangsa dihanyutkan air banjir ketika 249 pelajar Sekolah Menengah SMP Negeri I Turi menjalankan aktiviti pengakap dengan menyelusuri Sungai Sembor di daerah Sleman, Yogyakarta.

Seramai 24 pelajar dari kumpulan 249 pengakap pula mengalami kecederaan dan dibawa ke hospital ketika dilanda banjir.

Setakat tengahari semalam, enam mayat telah berjaya ditemui.

“Operasi mencari hari ini diteruskan sehingga jam 5.30 petang (waktu tempatan), namun segalanya bergantung kepada cuaca,” kata jurucakap agensi mencari dan menyelamat Yogyakarta, Pipit Eriyanto hari ini.

Kesemua pelajar berkenaan adalah daripada persatuan pengakap tempatan, manakala mangsa yang maut terdiri daripada pelajar perempuan, berusia antara 12 dan 15 tahun.

Jurucakap Agensi Bencana Alam Nasional, Agus Wibowo berkata, aktiviti merentas sungai membabitkan kanak-kanak dan remaja adalah dilarang pada musim hujan.

Susulan kejadian, polis melancarkan siasatan bagi melihat jika wujud unsur kecuaian dalam tragedi berkenaan dan serentak dengan itu, sekurang-kurangnya enam guru sudah dipanggil untuk disoal siasat.

Indonesia sering berdepan masalah banjir setiap kali dilanda musim hujan yang lazimnya bermula akhir November.

Pada Disember lalu, tiga penuntut universiti ditemui mati di sebuah gua di Jawa Barat selepas terperangkap akibat banjir.

Hujan lebat Januari yang menyebabkan banjir dan tanah runtuh pula meragut sekurang-kurangnya 70 nyawa di sekitar Jakarta. 

About J M Riaz

JM Riaz merupakan seorang wartawan hiburan yang gemar membuat liputan berita terkini di dunia. Dia bersemangat untuk membawa orang ramai yang terkini dan terhebat dalam hiburan. JM suka berinteraksi dengan pembacanya dan mendengar pendapat mereka tentang cerita terkini.

Read Previous

Formula 1: Sistem stereng baharu Mercedes dilarang mulai 2021

Read Next

Najib sahkan tandatangan SD sokong gabungan baharu

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.