Pemain kriket England, Chris Woakes, telah mendedahkan pengalaman mengerikan yang dialaminya selepas bahu cedera ketika perlawanan Ujian kelima menentang India di The Oval.
Insiden itu bukan sekadar satu kecederaan biasa dalam dunia sukan. Ia adalah momen yang menyatukan semangat juang, pengorbanan, dan rasa sakit yang amat luar biasa, semuanya berlangsung dalam bilik persalinan yang sunyi tetapi penuh dengan debaran.
Detik Cemas Bahu Cedera, Jeritan Sakit Pemain Kriket England Chris Woakes Bergema
Dalam perlawanan penentuan siri tersebut, Woakes mengalami terkehel bahu kiri selepas mendarat dengan cara yang tidak sempurna ketika mengejar bola ke arah sempadan. Bahunya “keluar dari kedudukan asal”, dan serta-merta dia dikejarkan ke bilik persalinan ditemani doktor pasukan, Dr Anita Biswas dan ahli fisioterapi, Ben Davies.
Menurut Woakes, pengalaman itu seperti mimpi ngeri.
“Ia adalah satu rasa sakit yang tidak dapat digambarkan. Saya menjerit, dan ia terasa seperti bahu saya tidak akan kembali ke tempat asalnya. Ia sangat menyakitkan, dan saya fikir mungkin ini penamat untuk saya dalam siri ini,” ujar Woakes kepada The Guardian.
Chris Woakes Dedah Proses Menyakitkan Mengembalikan Bahu Terkehel ke Kedudukan Asal
Prosedur untuk memulihkan bahu yang terkehel mengambil masa hampir setengah jam namun Woakes mendedahkan ia satu tempoh yang dirasakan seperti tiga jam. Pelbagai kaedah digunakan, termasuk teknik menggantungkan lengan dan baring secara senget, namun semuanya tidak berjaya pada awalnya.
“Kami cuba cara yang paling kurang menyakitkan, tetapi semuanya gagal. Akhirnya Anita meletakkan lututnya di bawah ketiak saya untuk mencipta tekanan, dan dengan satu bunyi ‘clunk’, bahu saya kembali ke tempat asal. Ia amat menyakitkan, tetapi saya juga merasa sangat lega,” katanya.
Pengorbanan Untuk Negara: Pemain Kriket England, Chris Woakes Kembali Ke Padang Lawan India Dengan Bahu Cedera Teruk
Dengan hanya 17 larian diperlukan untuk menang dan pasukan berada dalam keadaan kritikal, Woakes walaupun bahu cedera kembali ke padang dan memegang pemukul dengan satu tangan. Pemain cricket England itu berjuang hingga titisan terakhir demi pasukannya.
Aksi keberanian itu menyusuli jejak legenda seperti Graeme Smith dan Rick McCosker yang juga pernah bermain dalam keadaan kecederaan parah.
Walaupun usaha berani itu tidak cukup untuk membawa kemenangan kepada England. India menang dan menyamakan kedudukan siri 2-2,Woakes tetap menjadi tokoh utama dan dihormati atas semangat juangnya.
Baca juga:
- Ujian Kriket: Sarfaraz Khan Bantu India Bangkit dengan Century Pertama dalam Ujian Menentang New Zealand
- Arsenal Catat Bayaran Gaji Tertinggi Pemain Cedera EPL Musim 2024/25
Nasib Pemain Kriket England Chris Woakes Dalam Ashes Masih Belum Pasti
Persoalan kini tertumpu kepada kesediaan Woakes untuk Ashes Series yang bakal bermula pada 21 November di Perth, Australia. Kapten pasukan England, Ben Stokes, mengakui belum ada kepastian berkenaan keadaan pemain itu, dan keputusan hanya akan dibuat selepas bertemu pakar.
“Chris menunjukkan semangat luar biasa. Tiada siapa ragu dia akan kembali jika diperlukan. Kami melihat pengorbanan bukan sahaja daripadanya, tetapi juga pemain lain, ia melambangkan betapa hebatnya siri ini,” kata Stokes.