Pelaburan Google di Negeri Sembilan bernilai kira-kira RM650 juta bukan sekadar untuk membina pusat data baharu. Sebaliknya, syarikat teknologi gergasi itu turut membiayai projek infrastruktur air yang bakal membantu penduduk mendapatkan bekalan air bersih serta mengurangkan risiko banjir. Pelaburan AS$160 juta itu melibatkan pembangunan infrastruktur air berkongsi berhampiran kampus pusat data Google di Springhill Industrial Park, Port Dickson. Menariknya, projek ini bukan hanya memberi manfaat kepada operasi syarikat, malah turut membawa perubahan positif kepada masyarakat setempat. Jom semak lebih dekat mengenai 5 fakta pelaburan Google di Negeri Sembilan dalam perkongsian ini!
5 fakta pelaburan Google di Negeri Sembilan dalam perkongsian ini!
Loji Rawatan Air Mampu Bekalkan 65 Juta Liter Sehari
Menerusi kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sembilan dan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS), projek yang dibina oleh Gamuda Bhd ini merangkumi sebuah loji rawatan air moden serta kolam takungan air di sepanjang Sungai Linggi.
Apabila siap kelak, loji berkenaan mampu membekalkan sehingga 65 juta liter air terawat sehari untuk kegunaan penduduk dan operasi pusat data.
Kemudahan ini juga dijangka membantu memastikan bekalan air lebih stabil, terutama ketika musim kering apabila paras sungai semakin menurun.
Bukan Sekadar Bekalan Air, Turut Bantu Kurangkan Risiko Banjir
Satu lagi perkara menarik ialah pembinaan kolam takungan yang turut berfungsi sebagai kawasan simpanan lebihan air hujan.
Kemudahan ini boleh membantu mengurangkan risiko banjir ketika hujan lebat, selain menjadi sumber air sokongan apabila bekalan sungai berkurangan.
Selepas projek siap, kemudahan tersebut akan dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) atau MBINS.
Google Tanggung Kos Elektrik Pusat Data
Selain pembangunan infrastruktur air, Google turut mengesahkan komitmen untuk menanggung sepenuhnya kos penggunaan elektrik pusat data serta kos langsung penyambungan ke grid elektrik tempatan.
Langkah ini menunjukkan pelaburan tersebut turut mengambil kira aspek kelestarian dan penggunaan sumber secara lebih bertanggungjawab.
Menurut Pengarah dan Ketua Infrastruktur Global serta Tenaga Asia Pasifik Google, Drew Byrnes, pembiayaan projek air ini selari dengan sasaran syarikat untuk menggantikan semula 120 peratus jumlah air tawar yang digunakan.
Buka Peluang Ekonomi Dan Latihan Kepada Anak Muda
Kehadiran Google juga dijangka memberi kesan positif kepada ekonomi Negeri Sembilan melalui peluang perniagaan baharu dan perkembangan industri sokongan.
Ketua Pegawai Eksekutif Invest Negeri Sembilan, Datuk Najmuddin Sharif Sarimon, menjelaskan bahawa kerajaan negeri bukan hanya melihat jumlah pelaburan, tetapi turut mengutamakan manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Malah, Google turut bekerjasama dengan SOLS Foundation untuk melaksanakan dua inisiatif tenaga bersih bermula awal 2027.
Antara program yang dirancang termasuk:
- Makmal Solar: Penyediaan makmal solar di sekolah-sekolah kerajaan.
- Latihan Kemahiran Digital: Program latihan selama 36 jam berkaitan tenaga boleh baharu.
Program ini menyasarkan golongan muda daripada keluarga berpendapatan rendah serta komuniti Orang Asli.
Secara keseluruhannya, pelaburan ini membawa lebih banyak potensi kepada Negeri Sembilan. Bukan sahaja memperkukuh sektor teknologi, malah membuka ruang kepada pembangunan infrastruktur, peluang ekonomi dan peningkatan kemahiran anak muda.
Semoga dengan perkongsian mengenai 5 fakta pelaburan Google di Negeri Sembilan dalam perkongsian ini membantu anda!
Soalan Lazim (FAQ) Fakta Pelaburan Google di Negeri Sembilan
1. Berapa jumlah pelaburan Google di Negeri Sembilan?
Kira-kira RM650 juta atau AS$160 juta untuk infrastruktur air berkongsi.
2. Di manakah pusat data Google dibina?
Di Springhill Industrial Park, Port Dickson.
3. Berapa banyak air boleh dibekalkan setiap hari?
Sehingga 65 juta liter air terawat sehari.






