The Malaysia Post

Sumud Flotilla: Cinta Gaza Malaysia Seru Umat Islam Solat Hajat & Qunut Nazilah

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cinta Gaza Malaysia menyeru seluruh umat Islam agar bersatu hati dalam doa, melaksanakan solat hajat, qunut nazilah serta bacaan Yassin demi memohon perlindungan Allah SWT untuk para sukarelawan yang terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF). Seruan ini hadir selepas dua serangan dron dilaporkan menyasarkan kapal-kapal misi tersebut dalam tempoh dua hari.

Solat Hajat, Qunut Nazilah & Yassin Sebagai Benteng Perjuangan Untuk Lindungi Sukarelawan Global Sumud Flotilla 

Dalam hantaran rasmi di laman media sosial, Cinta Gaza Malaysia menekankan bahawa perjuangan flotilla ini bukan hanya milik mereka yang berada di atas kapal, sebaliknya menjadi simbol solidariti seluruh umat manusia yang cintakan keamanan.

“Marilah kita bersama mengangkat doa, melaksanakan solat hajat, qunut nazilah dan bacaan Yassin memohon perlindungan Allah SWT agar para sukarelawan misi Global Sumud Flotilla serta rakyat Gaza sentiasa dipelihara dan diberi kekuatan.” jelas kenyataan tersebut.

Selain itu, Cinta Gaza Malaysia menegaskan bahawa doa adalah benteng utama, sokongan masyarakat adalah tenaga penggerak, manakala solidariti global merupakan senjata paling berharga dalam menjayakan misi kemanusiaan ini.

Serangan Dron di Perairan Tunisia

Laporan terkini memaklumkan bahawa sekitar jam 11.21 malam (waktu tempatan), sebuah kapal milik GSF menjadi sasaran serangan dron di perairan Tunisia. Serangan itu menyebabkan kebakaran dan kerosakan struktur pada kapal berkenaan. Namun begitu, tiada kecederaan serius dilaporkan setakat ini.

Difahamkan, kapal tersebut turut dinaiki Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Pengasas Cinta Salam Malaysia dan adik kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman. Kejadian ini sekali lagi membuktikan besarnya risiko yang dihadapi oleh sukarelawan ketika berjuang membawa misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Serangan Terdahulu ke atas “Family Boat”

Hanya sehari sebelum kejadian itu, GSF turut melaporkan satu lagi serangan melibatkan “Family Boat”, salah satu bot utama mereka yang membawa ahli Jawatankuasa Pemandu. Bot yang berdaftar di bawah bendera Portugal itu diserang di kawasan perairan sama. Ia membawa enam penumpang termasuk kru, dan kesemua mereka dilaporkan selamat.

Solidariti Global Demi Kemanusiaan – Cinta Gaza Malaysia

GSF menegaskan bahawa serangan berulang kali ini tidak akan melemahkan semangat mereka untuk meneruskan pelayaran menuju ke destinasi akhir, iaitu Gaza. Misi flotilla kali ini membawa mesej solidariti antarabangsa, dengan penyertaan sukarelawan dari pelbagai negara yang komited untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin yang berdepan sekatan berpanjangan.

Baca juga:

Cinta Gaza Malaysia menyeru agar masyarakat terus mendoakan keselamatan sukarelawan, kerana sokongan doa dan solidariti antarabangsa menjadi faktor penting dalam memastikan misi ini sampai ke destinasi dengan selamat.

“Cukuplah Allah bagi kami sebagai pelindung, sebaik-baik tempat berserah, sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.” tambah kenyataan itu.

Serangan demi serangan yang berlaku menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan flotilla, namun pada masa sama ia telah mencetuskan gelombang solidariti global yang semakin kukuh. Apa yang jelas, misi ini bukan sekadar pelayaran fizikal, tetapi lambang perjuangan berterusan untuk kemanusiaan, keamanan dan keadilan.

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Isu PN Jumpa MCA, MIC: Ka Siong Enggan Ulas Lanjut

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *