The Malaysia Post

Kes Zara Qairina: Nik Nazmi Tegur Sikap Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, menegaskan bahawa Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, tidak seharusnya mengambil pendekatan defensif dalam menangani isu tragis kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina, yang telah mencetuskan gelombang perhatian dan kebimbangan masyarakat di seluruh negara.

Nik Nazmi Nasihat Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek Henti Defensif Dalam Kes Zara Qairina

Menurut bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu, isu kematian Zara Qairina ini bukan sekadar insiden terpencil, sebaliknya menyentuh aspek keselamatan asas pelajar di sekolah yang menjadi tanggungjawab utama pihak kerajaan. Beliau menekankan bahawa reaksi masyarakat, khususnya ibu bapa, adalah wajar kerana ia membabitkan nyawa dan masa depan generasi muda.

“Namun sebagaimana PM (Perdana Menteri) beri komitmen untuk siasatan adil dan telus, saya berharap Menteri Pendidikan juga tidaklah perlu defensif dalam perkara ini kerana ini soal asas iaitu soal keselamatan anak-anak kita di sekolah.” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek Perlu Berhenti Menyalahkan Ibu Bapa, Fokus Siasatan Telus Kes Zara Qairina – Nik Nazmi

nik nazmi fadhlina sidek

Nik Nazmi mengingatkan bahawa menuding jari kepada ibu bapa atau pihak yang membuat spekulasi tidak akan membantu menyelesaikan masalah. Sebaliknya, kerajaan perlu memberi jaminan jelas bahawa tindakan serius akan diambil tanpa memandang ringan keresahan yang disuarakan oleh rakyat.

“Kita tidak boleh menuding jari kepada ibu bapa atau yang membuat spekulasi dan sebagainya yang penting adalah kita menunjukkan bahawa kerajaan akan ambil tindakan serius dalam soal ini dan tidak memperkecilkan kebimbangan yaang isuarakan masyarakat,” tambahnya lagi.

Beliau turut menyarankan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersedia melakukan anjakan strategik dalam sistem pendidikan sekiranya terdapat keperluan, demi memastikan keselamatan pelajar sentiasa menjadi keutamaan.

“Isu buli kini mendapat perhatian yang sangat meluas dan sekiranya kita perlu ada anjakan dalam system pendidikan kita, maka kita perlu lakukan demi memastikan keselamatan anak-anak terjamin Soal kemenjadian murid, soal pencapaian mereka dalam pendidikan dan sebagainya tidak akan menjadi tumpuan kalau soal keselamatan anak-anak kita tidak dapat kita jamin,” tegasnya.

Baca juga:

Kematian Zara Qairina: Nik Nazmi Seru Anjakan Besar Sistem Pendidikan

Selain itu, Nik Nazmi turut mengalu-alukan komitmen kerajaan untuk memastikan siasatan kematian Allahyarham Zara Qairina dijalankan secara telus, menyeluruh, dan bebas daripada sebarang pengaruh politik. Beliau percaya bahawa hanya melalui siasatan yang adil, semua persoalan yang berlegar dalam kalangan masyarakat dapat dirungkai, sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.

Kes ini telah mencetuskan gelombang perbincangan hangat di media sosial serta mendapat liputan meluas di media arus perdana. Banyak pihak termasuk aktivis pendidikan, NGO, dan ahli akademik menyuarakan pandangan bahawa sudah tiba masanya kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh dalam menangani isu keselamatan sekolah, termasuk memperketat garis panduan pencegahan buli, meningkatkan pemantauan di asrama, serta memperkukuh sistem kaunseling dan pengurusan disiplin.

Dalam konteks yang lebih luas, tragedi ini menjadi penggera nasional yang mengingatkan semua pihak daripada pentadbir sekolah, guru, ibu bapa hingga ke pembuat dasar bahawa keselamatan pelajar bukan sekadar isu sampingan, tetapi asas utama pembinaan masa depan negara.

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Pembayaran STR Fasa 3 Disalur Mulai Esok

Read Next

Classita Lantik Bekas Ketua Polis Negara Sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *