Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan bahawa kubur Zara Qairina Mahathir akan digali semua. Kematian pelajar Tingkatan 1itu dalam insiden tragis di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah, telah mencetuskan pendebatan awam.
AGC Arah Kubur Zara Qairina Digali Semula
Tindakan gali semula kubur Zara Qairina ini diambil bagi melengkapkan siasatan secara menyeluruh dan telus, setelah menerima arahan rasmi daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Menurut Saifuddin, keputusan ini adalah langkah penting untuk memastikan segala bukti forensik yang mungkin terlepas sebelum ini dapat diperoleh dan dianalisis oleh pihak berkuasa. Bedah siasat akan dijalankan sebaik sahaja jenazah digali semula bagi menentukan punca sebenar kematian remaja berusia 13 tahun itu, yang sebelum ini dikebumikan tanpa sebarang pemeriksaan forensik.
“Memandangkan kita baru menerima arahan, pagi tadi saya telah diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara. Proses penggalian kubur akan dilaksanakan secepat mungkin. Fokus utama adalah mengemaskini siasatan dan mengumpul semua bukti yang relevan. Polis tidak akan berkompromi dengan prinsip keadilan,” tegas beliau pada sidang media selepas menghadiri Ijtimak MADANI Ulama dan Guru Pondok Kelantan 2025 di UiTM Machang yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kronologi Insiden Kematian Zara Qairina
Allahyarham Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah pada 16 Julai 2025 dan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I. Kes tersebut mencetuskan perhatian umum apabila terdapat dakwaan insiden buli di sebalik tragedi berkenaan.
Namun, siasatan awal yang dijalankan didakwa tidak lengkap oleh pihak keluarga dan peguam yang mewakili mereka. Ibu Allahyarham, Noraidah Lamat, menyatakan kekecewaan mendalam apabila anaknya dikebumikan tanpa melalui prosedur bedah siasat, sekali gus menimbulkan tanda tanya besar terhadap punca sebenar kematian.
Arahan AGC dan Keperluan Gali Semula Kubur Zara Qairina
Dalam kenyataan rasmi, AGC mengesahkan bahawa kertas siasatan awal yang dihantar oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikembalikan bersama beberapa arahan pembetulan. Antara perkara yang perlu diteliti semula adalah keperluan untuk pihak berwajib menggali semula kubur bagi membolehkan proses bedah siasat mayat Zara Qairina dijalankan demi mendapatkan maklumat forensik tambahan.
Peguam keluarga Allahyarham mendakwa kertas siasatan awal bersifat “lemah” dan tidak memadai untuk membawa keadilan kepada mangsa. Justeru, proses penggalian semula ini diharapkan menjadi titik permulaan kepada pendedahan fakta sebenar di sebalik tragedi berkenaan.
Baca juga:
- AGC Pulangkan Siasatan Kes Kematian Zara Qairina
- Akhi Fairuz Tepis Fitnah Edisi Siasat Berkaitan Kes Zara Qairina
Saifuddin Nasution Seru Semua Pihak Hormati Proses Undang-undang
Saifuddin menegaskan bahawa pelaksanaan penggalian semula ini akan dilakukan secara profesional, cepat, dan berlandaskan undang-undang. Beliau turut menyeru orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu perjalanan siasatan.
Kes ini telah mencetuskan perbincangan meluas mengenai keselamatan pelajar di asrama dan keperluan memastikan prosedur siasatan kematian yang mencurigakan dilaksanakan tanpa kelalaian.
Keluarga Zara Qairina dalam keadaan penuh berharap agar bahawa proses gali semula kubur untuk proses post mortem ini akan memberikan keadilan kepada anak mereka.