The Malaysia Post

Gempa Bumi 8.8 Magnitud di Rusia Cetus Tsunami ke Hawaii dan Jepun

Gelombang tsunami dengan ketinggiani lima meter telah melanda beberapa kawasan di pesisir Pasifik termasuk Hawaii. Ia berlaku selepas satu gempa bumi dahsyat berukuran 8.8 magnitud menggegarkan Semenanjung Kamchatka di Timur Jauh Rusia, sekali gus mencetuskan amaran tsunami berskala besar merentasi negara-negara sekitar Lingkaran Api Pasifik.

Menurut laporan rasmi daripada Akademi Sains Rusia, ini merupakan gempa bumi paling kuat yang direkodkan di rantau tersebut sejak tahun 1952, dengan pusat gempa terletak 119 kilometer timur-tenggara bandar Petropavlovsk-Kamchatsky, pada kedalaman cetek sekitar 19.3 kilometer.

Tsunami Menjalar ke Hawaii dan Jepun Selepas Gempa Bumi di Rusia

Pihak berkuasa di Hawaii telah mengeluarkan arahan pemindahan segera di kawasan rendah apabila Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengesahkan kehadiran ombak setinggi 1.2 meter yang mula menjejaskan kawasan pantai. Gabenor Hawaii, Josh Green, memaklumkan bahawa semua penerbangan ke dan dari Maui telah dibatalkan sebagai langkah berjaga-jaga. Pengawal Pantai AS turut mengeluarkan arahan kepada semua kapal agar meninggalkan pelabuhan serta-merta.

Sementara itu, di Jepun, lebih 50,000 orang telah dipindahkan, termasuk sekitar kawasan pantai timur dan Pulau Hokkaido. Bencana tsunami 2011 yang berlaku di Fukushima telah menimbulkan kebimbangan lalu mendorong pengendali loji nuklear, TEPCO, untuk menghentikan operasi sementara dan memindahkan kakitangan.

Rakaman media menunjukkan orang ramai berkumpul di atas bumbung bangunan dan struktur tinggi sebagai langkah perlindungan, manakala kapal nelayan meninggalkan pelabuhan bagi mengelakkan kerosakan harta dan kehilangan nyawa.

Kerosakan di Rusia dan Risiko Gelombang Susulan

Di kawasan terjejas sekitar Kamchatka, beberapa bangunan dilaporkan rosak termasuk sebuah tadika, walau bagaimanapun struktur binaan tahan gempa telah mengurangkan impak kepada nyawa dan harta benda. Menurut Kementerian Perkhidmatan Kecemasan Rusia, tiada kematian direkodkan setakat ini tetapi beberapa individu mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan perubatan.

Di Severo-Kurilsk, wilayah paling terjejas, empat gelombang tsunami telah direkodkan, dengan ombak tertinggi mencecah 5 meter, mengakibatkan banjir kilat, kerosakan pelabuhan, dan kapal tersadai dari tambatan.

Alexander Ovsyannikov, Datuk Bandar Severo-Kurilsk, mengarahkan pemeriksaan keselamatan ke atas semua sistem pemanas dan dapur gas bagi mengelakkan risiko kebocoran atau keracunan karbon monoksida susulan kerosakan struktur.

Bekalan elektrik di wilayah Sakhalin turut terputus akibat kerosakan pada grid elektrik utama. Usaha pemulihan sedang dijalankan secara agresif dengan kerjasama agensi tempatan dan nasional.

Risiko Menyeluruh di Lingkaran Api Pasifik

Sistem Amaran Tsunami Amerika Syarikat menjangkakan bahawa gelombang berbahaya setinggi 3 meter atau lebih mungkin akan melanda kawasan pantai di Ecuador, Jepun, Chile, Kepulauan Solomon dan bahagian utara Kepulauan Hawaii. Negara-negara lain di sepanjang Pantai Barat Amerika Syarikat dan negara-negara Pasifik juga diminta berwaspada terhadap kemungkinan ombak susulan yang boleh berlaku dalam beberapa jam akan datang.

Presiden AS Donald Trump dalam kenyataan media menyatakan, “Disebabkan gempa bumi besar di Lautan Pasifik, amaran tsunami telah diaktifkan di Hawaii, Alaska dan sepanjang Pantai Barat AS. Semua langkah keselamatan telah digerakkan sepenuhnya.”

Baca juga:

Situasi Terkini dan Langkah Berjaga-jaga Tsunami

Pakar geofizik Rusia, Danila Chebrov, menjelaskan bahawa walaupun magnitud gempa bumi ini sangat tinggi, intensiti gegaran di permukaan lebih rendah daripada jangkaan, berkemungkinan disebabkan oleh struktur geologi pusat gempa. Namun, beliau menekankan bahawa gempa susulan akan berterusan selama beberapa hari dan semua pihak dinasihatkan untuk kekal berwaspada.

Wilayah Kamchatka dan kawasan sekitar Lautan Pasifik termasuk Hawaii, Jepun dan Amerika Syarikat kini berada dalam pemantauan aktif, dengan agensi kecemasan terus menilai tahap risiko dan melaksanakan langkah mitigasi secara berperingkat.

About Syaqiq Al Azdi

Syaqiq Al Azdi adalah seorang penulis laman web WordPress yang mahir
dengan pengalaman selama 5 tahun dalam menghasilkan kandungan yang
menarik dan mesra SEO. Mempunyai Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Syaqiq menggabungkan kepintaran perniagaan dengan
pemahaman mendalam tentang penulisan web, memastikan kandungan
yang dihasilkan selaras dengan keperluan pengguna dan matlamat
perniagaan

Read Previous

Ruhainies Nafi Dibela Sugar Daddy, Tuntut Bukti Daripada Netizen

Read Next

Jurang JDT-Selangor Makin Kecil? TMJ Bidas Dakwaan Johan Kamal

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *