Kekayaan golongan bilionair di seluruh dunia mencatatkan lonjakan luar biasa sepanjang dekad lalu, dengan jumlah keseluruhan dianggarkan meningkat sebanyak AS$6.5 trilion (RM27.4 trilion), menurut laporan badan amal antarabangsa, Oxfam. Peningkatan kekayaan ini menyumbang kepada 14.6 peratus daripada jumlah pengeluaran global, satu angka yang dianggap tidak seimbang dengan pertumbuhan ekonomi yang dinikmati oleh populasi dunia secara keseluruhan.
Bilionair Dunia Kuasai Kekayaan Global, Mampu Hapus Kemiskinan Global 22 Kali – Oxfam
Oxfam, yang merupakan konfederasi bebas pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan keadilan sosial dan penghapusan kemiskinan global, menzahirkan kebimbangan terhadap pengagihan kekayaan yang tidak sekata, serta kadar cukai yang sangat rendah dikenakan ke atas kelompok individu terkaya dunia.
Secara keseluruhannya, kira-kira 3,000 bilionair global kini menguasai lebih daripada AS$33.9 trilion (RM143 trilion) dalam bentuk kekayaan. Jumlah ini, menurut Oxfam, mampu menghapuskan kemiskinan global sebanyak 22 kali ganda, sekali gus membuktikan bahawa ketidaksamaan kekayaan merupakan isu struktur yang serius.
“Bilionair membayar kadar cukai yang amat rendah, sekitar 0.3 peratus daripada jumlah kekayaan mereka, jauh lebih kecil berbanding kadar cukai yang ditanggung oleh pekerja biasa,” ujar laporan tersebut.
Trend Ketidaksamaan Kekayaan Semakin Ketara di Negara Maju
Trend ketidaksamaan ini turut dapat dilihat di negara maju seperti United Kingdom, di mana data yang dikumpulkan oleh Equality Trust menunjukkan bilangan bilionair meningkat secara mendadak. Ia susulan apabila daripada hanya 15 orang bilionair wujud pada tahun 1990 namun kini ia meningkat kepada 165 orang pada tahun 2024.
Perkembangan ini menimbulkan persoalan serius mengenai keberkesanan sistem percukaian dan mekanisme pengagihan semula kekayaan. Oxfam menggesa kerajaan Britain dan negara-negara lain untuk bekerjasama menangani isu “ketidaksamaan melampau” melalui pelaksanaan sistem cukai yang lebih adil dan progresif.
Menurut laporan itu lagi, kekayaan swasta berkembang lapan kali ganda lebih pantas daripada kekayaan bersih kerajaan antara tahun 1995 hingga 2023, satu petunjuk yang mengukuhkan jurang antara golongan kaya dan masyarakat umum.
Cukai Minimum Global: Langkah Ke Arah Keadilan Ekonomi?
Sebagai langkah permulaan ke arah pembaharuan sistem percukaian global, beberapa negara telah mengambil tindakan bersepadu. Pada tahun lalu, Sepanyol, Brazil, Jerman dan Afrika Selatan telah menandatangani usul pada sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) untuk mengenakan cukai minimum sebanyak dua peratus ke atas golongan ultra kaya.
Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan ketidaksamaan dan mengumpul dana awam bagi membiayai program kebajikan sosial, kesihatan awam, pendidikan dan infrastruktur.
Baca juga:
- UAE Semakin Popular di Kalangan Bilionair Dunia – Ini Sebabnya!
- Senarai TOP 10 Orang Paling Kaya Di Malaysia 2024 Menurut Forbes
Bilionair Terkaya Dunia pada Julai 2025
Setakat bulan Julai 2025, carta bilionair global menunjukkan tiga tokoh korporat utama mengungguli senarai kekayaan:
- Elon Musk (CEO Tesla & SpaceX): Nilai kekayaan bersih dianggarkan sebanyak AS$412 bilion.
- Larry Ellison (Pengasas Oracle): AS$292 bilion.
- Jeff Bezos (Pengasas Amazon): AS$240 bilion.
Jumlah ini terus meningkat melalui pelaburan teknologi, automasi, dan penguasaan pasaran yang semakin meluas.