KUALA LUMPUR, 3 Julai 2025 – Dunia fesyen tempatan dikejutkan dengan berita terkini apabila pereka fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie, telah diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi (Bahagian Insolvensi) di ibu negara. Keputusan tersebut dibuat susulan kegagalannya untuk melunaskan pinjaman persahabatan berjumlah RM5.28 juta kepada syarikat kejuruteraan dan pembinaan, Cekap Air Sdn. Bhd.
Mahkamah Isytihar Jovian Mandagie Muflis Kerana Hutang RM5 Juta
Dalam prosiding rasmi yang dijalankan pada hari ini, Penolong Kanan Pendaftar (Insolvensi), Muhammad Faisal Zulkifli, membenarkan petisyen pemiutang yang .telah difailkan pada 20 November 2024 oleh Cekap Air Sdn. Bhd.
Petisyen berkenaan merujuk kepada kegagalan Jovian sebagai penghutang penghakiman untuk mematuhi Notis Kebankrapan bertarikh 21 Mei 2024, walaupun telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi melalui penghakiman terus bertarikh 2 April 2024. Mahkamah pada ketika itu memutuskan bahawa Jovian perlu membayar balik jumlah pinjaman berserta faedah, yang secara keseluruhan mencecah RM5,284,340.66.
Punca Sebenar Jovian Mandagie Muflis, Petisyen Cekap Air Dibenarkan
Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan oleh Cekap Air, Jovian dipercayai meminjam RM5 juta secara lisan daripada Pengarah Cekap Air, Yong Zhen Wei pada 25 Februari 2022. Wang berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun pelanggan firma guaman yang mewakili Jovian, yang kemudiannya mengesahkan penerimaan dana atas arahan tertuduh.
Namun, kegagalan Jovian untuk melunaskan pinjaman tersebut mengakibatkan syarikat terbabit memfailkan saman pada 16 Mei 2023. Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan penghakiman terus oleh plaintif, yang membawa kepada pengeluaran Notis Kebankrapan.
Menurut peguam syarikat, Siti Nur Athirazatti Rohizad, semua permohonan daripada pihak defendan untuk menggantung dan membatalkan notis serta petisyen berkenaan telah ditolak oleh mahkamah.
Baca juga:
- Sorotan Kisah Perceraian Selebriti Malaysia 2023, Puteri Sarah & Syamsul Yusof Paling Kontroversi
- Datuk Red Dedah Sudah Muflis, Tanggung Hutang RM5 Juta
Rayuan Pereka Fesyen Terkenal Jovian Mandagie Masih Berjalan
Meskipun telah diisytiharkan muflis, Jovian masih mempunyai saluran undang-undang untuk membuat rayuan. Difahamkan bahawa rayuan beliau terhadap keputusan penghakiman terus melalui saman utama dijadualkan untuk didengar pada 15 September 2025.