Kerajaan Malaysia secara rasmi akan mengharamkan import semua peranti tiruan tali pinggang keledar bermula 31 Disember 2025, sebagai sebahagian daripada langkah agresif untuk memperkukuh keselamatan jalan raya dan mengekang penggunaan produk yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya.
Larangan Penggunaan ‘Dummy Buckle’ atau Cangkuk Tali Pinggang Keledar Palsu
Larangan ini akan dikuatkuasakan di bawah Perintah Kastam (Larangan Import) (Pindaan) (No. 2) 2025, dan akan terpakai ke atas semua negara pengeksport tanpa sebarang pengecualian.
Peranti yang akan diharamkan merangkumi:
- Cangkuk tali pinggang palsu (dummy belt buckles)
- Penyahaktif sistem amaran tali pinggang keledar
- Pemanjang klip tali pinggang
- Sebarang produk tiruan yang direka bentuk untuk memintas atau melumpuhkan sistem keselamatan tali pinggang keledar kenderaan
Menurut laporan New Straits Times, peranti ini menggugat integriti sistem keselamatan kenderaan dengan membolehkan pemandu dan penumpang mengelakkan pemakaian tali pinggang keledar, sekali gus meningkatkan risiko kecederaan serius atau kematian dalam kemalangan.
Impak Penggunaan ‘Dummy Buckle’ atau Cangkuk Tali Pinggang Keledar Palsu kepada Keselamatan Awam
Penggunaan alat seperti gesper palsu telah dikenal pasti sebagai antara punca utama kegagalan pematuhan peraturan keselamatan jalan raya. Dalam satu operasi penguatkuasaan oleh Kementerian Pengangkutan sempena Tahun Baru Cina di Negeri Sembilan, didapati 30% daripada pelanggar peraturan tidak memakai tali pinggang keledar menggunakan gesper tiruan untuk mematikan bunyi penggera.
Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa langkah ini adalah komponen utama dasar keselamatan jalan raya nasional, sejajar dengan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2025.
Baca juga:
- Pemakaian Jam Tangan Rainbow Jenama Swatch Kini Diharamkan di Malaysia
- Google Kena Denda RM8.73 ‘Decillion’ Oleh Mahkamah Russia Kerana Memadam Saluran YouTube
Denda RM300 Menanti Pengguna ‘Dummy Belt Buckle’ atau Cangkuk Tali Pinggang Keledar Palsu Tahun 2026
Bermula 1 Januari 2026, mana-mana individu yang ditangkap menggunakan gesper tiruan atau peranti penyahaktif akan dikenakan kompaun sebanyak RM300 di bawah peraturan penguatkuasaan baharu.
Selain daripada larangan import, pihak kementerian juga akan menjalankan operasi rampasan dan penarikan balik produk ini daripada pasaran tempatan. Difahamkan, sebahagian besar peranti ini dijual secara meluas di platform e-dagang dan kedai aksesori kenderaan pada harga serendah RM1.99 seunit.
Langkah Tambahan: Penumpang Bas Juga Wajib Pakai Tali Pinggang Keledar
Selari dengan usaha memperketat aspek keselamatan awam, kerajaan turut menetapkan bahawa semua penumpang bas ekspres kini diwajibkan memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan. Pengusaha bas akan dipantau secara ketat bagi memastikan pematuhan menyeluruh.