Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025, sebagai sebahagian daripada komitmen di bawah kerangka Bajet 2025. Langkah ini diambil untuk memperkukuhkan kedudukan fiskal negara dan meluaskan asas kutipan hasil negara secara mampan serta berstruktur.
Kerjasama Awam-Swasta Dalam Penambahbaikan Pelaksanaan Cukai SST 2025
Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) telah memainkan peranan aktif dalam perbincangan bersama MOF dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), terutamanya dalam memberikan input terhadap senarai barangan yang dikecualikan cukai serta permohonan untuk kelonggaran penguatkuasaan. Melalui advokasi FMM, beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan termasuk:
- Peluasan tempoh transisi sehingga 31 Disember 2025 tanpa sebarang pendakwaan atau penalti terhadap syarikat yang sedang berusaha mematuhi.
- Penekanan terhadap keperluan garis panduan peralihan yang praktikal dan jelas terutama bagi sektor yang terlibat dengan perkhidmatan campuran.
1. Perluasan Skop Cukai Jualan: Struktur Cukai Bertingkat
A. Barangan Dikecualikan (0%)
Mengikut Perintah PU(A) 171/2025, sebanyak 350 kod HS telah disenaraikan sebagai barangan dikecualikan cukai. Ini merangkumi:
- Barangan makanan asas: ayam, daging, ikan, sayur, buah tempatan, beras, tepung, gula, minyak masak.
- Keperluan harian: susu, roti, makanan haiwan peliharaan.
- Peralatan kesihatan: ubat, peranti perubatan.
- Bahan binaan: simen, pasir, batu.
- Input pertanian dan penternakan: baja, racun perosak, jentera.
B. Barangan Tertakluk Kepada 5%
Berdasarkan Perintah PU(A) 170/2025, kadar 5% dikenakan ke atas lebih 4,800 kod HS yang meliputi:
- Barangan mewah: truffle, ketam raja, salmon, minyak pati.
- Barangan industri: mesin mekanikal, pam, alat teknikal, produk besi, klorin industri.
C. Barangan Tertakluk Kepada 10%
Barangan tidak disenaraikan sebagai keperluan akan dikenakan kadar standard 10%, termasuk:
- Produk tidak penting seperti kaviar, sirip yu, barangan kulit, lukisan antik dan tembakau.
2. Perluasan Skop Cukai Perkhidmatan: Penyertaan Sektor Baharu
Kadar cukai perkhidmatan turut disemak semula dengan peningkatan daripada 6% kepada 8%, kecuali beberapa sektor strategik yang kekal pada kadar 6%.
A. Perkhidmatan Pajakan dan Sewa
Mulai 1 Julai 2025, cukai 8% akan dikenakan untuk pajakan dan penyewaan barangan komersial termasuk jentera, premis dan peralatan manakala penyewaan harta kediaman dan urus niaga luar negara pula akan dikecualikan cukai.
B. Pembinaan (6%)
Cukai SST juga turut dikenakan atas perkhidmatan pembinaan untuk projek infrastruktur dan komersial manakala projek kediaman dan awam tertentu kekal dikecualikan SST.
C. Kewangan (8%)
Skop melibatkan perkhidmatan berasaskan fi seperti nasihat, pembrokeran dan pengunderaitan. Pendapatan berdasarkan faedah atau keuntungan kekal dikecualikan.
D. Kesihatan (6%)
Perkhidmatan kesihatan swasta kepada bukan warganegara dikenakan cukai. Warganegara Malaysia tidak terjejas.
E. Pendidikan (6%)
Institusi prasekolah, rendah dan menengah swasta yang menawarkan perkhidmatan kepada pelajar bukan warganegara dikenakan cukai. Pelajar warganegara dikecualikan.
F. Logistik dan Penghantaran
Perkhidmatan penghantaran kini termasuk dalam skop SST, merangkumi perkhidmatan ekspres, digital, dan pemenuhan logistik.
3. Langkah Persediaan Untuk Syarikat Susulan Pelaksanaan Cukai SST 2025
Untuk pematuhan dan kelangsungan operasi, syarikat disarankan:
- Semak semula klasifikasi produk.
- Daftar SST jika layak.
- Mohon pengecualian Jadual C untuk bahan mentah/pembungkusan.
- Kemaskini sistem ERP, invois dan perakaunan.
- Libatkan rantaian pembekalan untuk semakan harga dan kontrak.
Sebarang bantuan teknikal boleh diperoleh dengan menghubungi Pusat Panggilan JKDM di 1300 888 500 atau melalui e-mel di [email protected].
Baca juga: