Petronas kini maju ke depan dalam dunia mobiliti elektrik apabila memainkan peranan utama dalam pengedaran motosikal elektrik jenama Blueshark di Malaysia. Petronas Dagangan Berhad (PDB), melalui pemeteran kerjasama strategik dengan Blueshark Ecosystem Malaysia, kini merupakan pemegang saham dalam entiti usaha sama baharu, Blueshark Malaysia. Penyertaan ini mencerminkan langkah strategik PDB dalam mengukuhkan kedudukan syarikat dalam sektor kenderaan elektrik dua roda, sejajar dengan aspirasi nasional ke arah mobiliti lestari.
Usaha Sama Strategik Petronas Bersama Blueshark Ecosystem
Blueshark Malaysia ditubuhkan hasil daripada kerjasama strategik antara PDB Growth Solutions Sdn. Bhd. (anak syarikat milik penuh Petronas Dagangan Berhad) dan Blueshark Ecosystem Sdn. Bhd., dengan mandat khusus untuk mentadbir dan memperluaskan penawaran kenderaan elektrik dua roda di Malaysia. Menerusi perjanjian ini, Blueshark Malaysia telah dianugerahkan hak pengedaran eksklusif bagi kesemua model motosikal elektrik di bawah jenama Blueshark, sekali gus mengukuhkan kehadiran jenama tersebut dalam pasaran mobiliti tempatan.
Motosikal Elektrik Blueshark: Petronas Daripada Sekadar Rakan Strategik kepada Pemegang Saham
Perkongsian awal antara Petronas dan Blueshark bermula sejak penghujung tahun 2022, apabila PDB memperkenalkan Bluestation, iaitu stesen pertukaran bateri motosikal elektrik di beberapa stesen minyak terpilih. Kini, dengan terbentuknya Blueshark Malaysia, tanggungjawab Petronas bukan sahaja sebagai penyedia infrastruktur pertukaran bateri tetapi turut terlibat secara langsung dalam pengedaran produk-produk Blueshark.
Setakat ini, sebanyak 20 buah Bluestation telah dibina di lokasi strategik seperti Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang. PDB turut memaklumkan bahawa pihaknya merancang untuk memperluas pemasangan stesen pertukaran bateri ini ke lebih banyak kawasan di Malaysia dalam masa terdekat, meskipun maklumat terperinci masih belum didedahkan.
Model SoloEra Akan Dipasang Secara Tempatan
Selain peranan sebagai pengedar, pemasangan motosikal elektrik Blueshark turut dilaksanakan secara domestik menerusi kerjasama strategik bersama EP Manufacturing Berhad (EPMB). Model terkini, SoloEra, akan mula dipasang di fasiliti EPMB yang terletak di Glenmarie bermula bulan hadapan, selaras dengan komitmen Blueshark Malaysia untuk memperkukuh ekosistem mobiliti tempatan serta menyokong agenda pertumbuhan ekonomi hijau negara.
Petronas Perkukuh Ekosistem Mobiliti Elektrik
Kehadiran Petronas sebagai pemegang saham dalam Blueshark Malaysia dijangka memberikan impak besar terhadap pengembangan jenama tersebut di pasaran tempatan, bertetapan dengan inisiatif negara ke arah mobiliti rendah karbon dan pengurangan pelepasan gas rumah kaca.
Dengan sokongan infrastruktur dan sumber Petronas, Blueshark kini berada pada kedudukan yang lebih kukuh untuk menembusi pasaran lebih luas, khususnya dalam kalangan pengguna yang prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.
Baca juga:
- TOP 10 Jenama Helmet Motosikal Terbaik pada 2023
- 10 Fakta Menarik Tentang Kereta Elektrik Tesla Yang Akan Membuat Anda Kagum
Mengenali Blueshark R1: Tawaran Terawal Motosikal Elektrik Blueshark di Malaysia
Terdapat dua model utama ditawarkan syarikat ini untuk pasaran Malaysia, dengan salah satunya ialah Blueshark R1 yang telah mula dijual. Model ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pengguna tempatan, terutamanya kerana prestasinya yang mantap, reka bentuk yang bergaya serta penggunaan teknologi bateri boleh tukar yang praktikal dan mesra pengguna.