Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub dan Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad meletakkan jawatan masing-masing sebagai menteri pusat berikutan perkembangan terbaru politik negara yang turut menyaksikan Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan perdana menteri dan pengerusi PPBM.
Salahuddin dalam satu kenyataan berkata, beliau akan terus memperjuangkan nasib petani, penternak dan nelayan walaupun tidak lagi bersama kerajaan.
“Setakat ini sahaja hayat saya di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan saya mendoakan semoga nasib anda semua akan terus berubah di bawah kepimpinan MOA yang baru nanti.
“Saya telah menghabiskan hayat saya di MOA untuk memperjuangkan nasib petani, penternak dan nelayan.
“Sekiranya saya masih gagal, saya memohon sepenuhnya kemaafan anda semua,” kata Timbalan Presiden Amanah dan juga ahli Parlimen Pulai itu.
Dalam perkembangan sama, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad turut mengisyaratkan hal sama dalam kenyataan ringkas di Twitter yang disifatkannya sebagai kemas kini terakhir sebagai menteri kesihatan.
“Alhamdulillah. 2 lagi kes Covid-19 pulih sepenuhnya dan di discaj hari ini. Tiada kes positif baru. Kes ke-14 dan ke-19 sebelum ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur. Jumlah yang telah pulih sepenuhnya dan didiscaj hingga hari ini 20 orang. 2 masih dirawat dan stabil.
“Tweet terakhir saya sebagai YBMK. Terima kasih,” katanya.
Dzulkefly adalah Pengarah Strategi Amanah dan ahli Parlimen Kuala Selangor.