The Malaysia Post

Kerajaan Luas Penggunaan Sistem Kod QR di Sempadan Johor-Singapura Mulai 2025

KUALA LUMPUR, 18 November 2024 – Kerajaan Malaysia akan memperluaskan penggunaan sistem kod QR kepada semua jenis pengangkutan di pintu masuk Johor-Singapura pada tahun 2025. Langkah ini bertujuan untuk melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sistem ini akan melibatkan kenderaan persendirian, selain bas dan motosikal yang sudah menggunakan teknologi ini sejak Jun lalu.

Pelaksanaan Sistem Kod QR Tambak Johor

Saifuddin turut memberitahu sistem kod QR pertama kali diperkenalkan di Kompleks Kastam, Imigresen, dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB). Beliau berkata dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Menangani Kesesakan Tambak Johor di Bukit Aman hari ini bahawa penggunaan kod QR mampu memendekkan masa menunggu antara dua hingga tiga saat bagi setiap kenderaan.

Sistem ini membolehkan pelancong melengkapkan urusan imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan tol dalam satu proses yang disatukan. Inovasi ini dijangka membantu menangani peningkatan jumlah kenderaan yang dijangka mencecah 150 juta setahun pada 2025, berbanding 116 juta pada 2023.

Baca lagi | Kenaikan Tambang Bas ke Singapura: Tidak Mengejutkan, Tidak Ada Isu

Fasa Pertama dan Perancangan Lanjutan

Menurut Saifuddin, perolehan vendor bagi fasa pertama sistem ini telah dimuktamadkan. Sistem ini akan diperluaskan kepada semua jenis kenderaan, termasuk persendirian. Mesyuarat khas itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, dengan kehadiran Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Beliau juga menyatakan bahawa pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menguji tiga aplikasi – MyTrip, MyRENTAS, dan MyBorderPass – di CIQ BSI dan KSAB bagi memastikan keberkesanannya dalam mengurangkan kesesakan.

Baca Juga:  Negara dengan Kadar Cukai Pendapatan Paling Tinggi di Dunia

Sistem Imigresen Baharu Beri Manfaat kepada Pengguna dan Pelancongan

Inisiatif ini tidak hanya bertujuan melancarkan trafik tetapi juga memacu sektor pelancongan negara. Singapura kini terus menjadi penyumbang terbesar pelancong ASEAN ke Malaysia, dan diikuti oleh Thailand. Pengurangan masa menunggu di pintu masuk dijangka meningkatkan pengalaman pelancong dan pengguna tempatan.

Baca lagi | Kod QR Bakal Dilaksanakan untuk Pelepasan Imigresen di Tambak Johor Bermula 1 Jun Ini

Saifuddin mengingatkan bahawa meskipun aplikasi digunakan, pasport tetap diperlukan sebagai dokumen pengesahan rasmi.

Pengumuman rasmi mengenai aplikasi yang akan digunakan dijangka dibuat dalam masa terdekat. Langkah ini menandakan komitmen kerajaan untuk memperbaiki infrastruktur imigresen dan meningkatkan daya saing negara sebagai destinasi pelancongan dan perdagangan utama di rantau ini.

About Azlan Rosdi

1695f153a91e6f09b02e66a9410723f0b533c5171778b73320e93631ad3773e3?s=90&d=mm&r=gAzlan Rosdi seorang koresponden sukan yang menulis tentang sukan Malaysia, para atlet, dan kejohanan utama. Laporannya merangkumi liga tempatan, pencapaian nasional, serta semangat dan dedikasi di sebalik setiap kejayaan sukan.

Read Previous

Menteri Besar Kedah Sanusi Md Nor Berdepan Saman RM1 Bilion Dari DSAT Group

Read Next

Kim Jong-un Seru Korea Utara Tingkatkan Keupayaan Berperang

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *