The Malaysia Post

Keputusan UNIFIL Tentukan Kedudukan MALBATT 850-11 di Lubnan – MINDEF

KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2024 – Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) menegaskan bahawa keselamatan pegawai dan anggota Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang kini bertugas di Lubnan adalah keutamaan mereka. Situasi keselamatan di negara itu semakin mencabar susulan serangan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) ke atas pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ketika ditemui dalam satu sidang media selepas Majlis Peluncuran Inisiatif ‘Perajurit Broadband’ di Auditorium Kementerian Pertahanan, berkata keputusan untuk membawa pulang pasukan MALBATT dari Lubnan akan ditentukan oleh Pasukan Interim PBB (UNIFIL).

“Keputusan ini perlu dibuat oleh UNIFIL. Kami sentiasa menerima laporan situasi di Lubnan sebanyak tiga hingga empat kali sehari. Kami tidak menafikan bahawa terdapat provokasi yang dilakukan oleh IDF ke atas pasukan pengaman dari Ireland yang berada berhampiran sempadan Lubnan. Pasukan MALBATT berada sedikit jauh dari lokasi tersebut, dan kami menunggu keputusan seterusnya,” katanya.

Baca lagi | Dua Askar Indonesia Cedera dalam Serangan Israel ke Arah Ibu Pejabat UNIFIL di Lubnan

Arahan Keselamatan Ketat untuk MALBATT

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled menyatakan Keselamatan pasukan MALBATT 850-11 di bawah misi Pasukan Sementara PBB di Lubnan (UNIFIL) telah diperketatkan berikutan perkembangan terkini di kawasan selatan Lubnan. Mohamed Khaled mengesahkan bahawa semua operasi rondaan serta pergerakan logistik pasukan telah dihentikan buat sementara waktu. Arahan ini bertujuan melindungi keselamatan anggota pasukan setelah berlakunya serangan oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang mengakibatkan kecederaan kepada dua anggota pengaman Indonesia yang bertugas di bawah UNIFIL.

Sebagai langkah berjaga-jaga, anggota MALBATT kini diarahkan untuk kekal berada dalam bunker selama 12 hingga 13 jam setiap hari. Keadaan ini mencerminkan tahap kewaspadaan yang tinggi, di mana tiada aktiviti luar seperti rondaan dibenarkan sehingga arahan baru diterima daripada UNIFIL. Insiden yang berlaku di Naqoura, di mana dua anggota pengaman Indonesia cedera akibat tembakan kereta kebal ketika menjalankan pemantauan di menara kawalan, menjadi titik penting yang mendorong pengenalan langkah keselamatan ini.

Situasi Keselamatan Semakin Tegang

Sebelum ini, Kementerian Luar Indonesia telah memindahkan 65 rakyatnya dari Lubnan susulan serangan udara oleh Israel di negara tersebut. Menurut pengarah perlindungan warga Indonesia, Judha Nugraha, 25 orang daripada mereka telah pulang ke tanah air, manakala selebihnya telah dipindahkan ke Amman, Jordan.

Meskipun situasi semakin tegang, pasukan MALBATT masih belum dipindahkan dan akan terus berada di bawah naungan UNIFIL sehingga keputusan lanjut dibuat. Datuk Seri Mohamed Khaled menegaskan bahawa MINDEF akan terus memantau situasi di Lubnan dengan teliti bagi memastikan keselamatan anggota pasukan MALBATT.

Dalam masa yang sama, MINDEF turut menyatakan komitmen mereka untuk bekerjasama rapat dengan UNIFIL dan negara-negara lain yang terlibat dalam misi pengaman PBB bagi memastikan keamanan di rantau tersebut.

Read Previous

Dua Askar Indonesia Cedera dalam Serangan Israel ke Arah Ibu Pejabat UNIFIL di Lubnan

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.