The Malaysia Post

Israel Lakukan Serangan Darat ke Atas Hizbullah Selepas 18 Tahun

Baitulmaqdis, 1 Oktober 2024 – Israel telah melancarkan operasi darat pertama mereka terhadap kumpulan Hizbullah sejak konflik yang berlaku pada tahun 2006, dengan serangan terbaru yang memfokuskan kepada kawasan selatan Lubnan. Operasi ini diumumkan sebagai “serbuan darat terhad, setempat dan disasarkan,” dan disokong oleh artileri dan serangan udara. Israel menggunakan alasan serbuan yang dilakukan ini adalah untuk mengatasi ancaman Hizbullah di sempadan dan mengembalikan keselamatan kepada rakyatnya yang terjejas.

Latar Belakang Konflik Israel dan Hizbullah

Israel bermusuh dengan kumpulan Hizbullah, yang berpusat di Lubnan, yang telah menjadi ancaman bagi mereka. Keadaan bertambah tegang apabila Hizbullah melakukan serangan peluru berpandu terhadap tanah haram Israel di sepanjang sempadan Israel-Lubnan. Sejak tahun 2006, hubungan kedua-dua pihak telah kekal tegang, namun konflik skala besar jarang berlaku. Namun, serangan kali ini yang dilakukan Israel semakin meningkatkan konflik yang sekian lama telah berlarutan.

Matlamat Operasi Darat Israel

Menurut kenyataan rasmi tentera Israel, operasi ini bertujuan untuk menghancurkan ancaman peluru berpandu anti-kereta kebal Hizbullah yang ditempatkan berhampiran sempadan. Israel turut memberi alasan mereka ingin mengurangkan kemampuan Hizbullah dalam melancarkan serangan terhadap mereka dan untuk memaksa kumpulan tersebut mundur ke utara sungai Litani di Lubnan. Serangan udara turut dilancarkan ke kawasan selatan Beirut, menambahkan ketegangan di wilayah tersebut.

Seorang pegawai Israel yang rapat dengan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengatakan bahawa pemimpin Israel itu juga melihat operasi ini sebagai peluang untuk mendapatkan kedudukan politik yang lebih kuat dalam rundingan status quo baru di wilayah tersebut apabila gencatan senjata dicapai.

Baca lagi | Konflik Israel-Lubnan: Hizbullah Lancar Serangan Fadi-3 ke Arah Haifa

Tanggapan Antarabangsa

Walaupun serangan ini menimbulkan kebimbangan antarabangsa, khususnya mengenai potensi risiko konflik yang lebih besar dengan Iran, kerajaan AS telah mengambil langkah untuk membendung perluasan operasi ini. Pegawai Washington dilaporkan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Israel bagi mengehadkan skop dan tempoh serangan darat ini untuk mengelakkan peningkatan konflik yang tidak terkawal di rantau ini.

Risiko Operasi Darat di Lubnan

Walaupun Israel mempunyai kelebihan dari segi teknologi dan perisikan, Hizbullah mempunyai kelebihan dalam pengetahuan mendalam tentang medan pertempuran di selatan Lubnan. Seorang bekas pegawai keselamatan Israel memberi alasan tidak munasabah dengan mengatakan bahawa tentera Israel tidak berhasrat untuk melancarkan pencerobohan besar-besaran seperti yang pernah dilakukan di Gaza. Sebaliknya, mereka lebih cenderung untuk fokus kepada sasaran strategik, terutamanya peluru berpandu anti-kereta kebal Hizbullah yang mengancam keselamatan Israel.

Pengaruh Terhadap Penduduk Lubnan

Penduduk Lubnan, khususnya mereka yang berada di selatan negara itu, menghadapi ketakutan yang semakin meningkat akibat serangan ini. Media tempatan melaporkan bahawa Israel telah menyerang kem pelarian Palestin terbesar di Lubnan untuk kali pertama, meningkatkan ketegangan di kalangan penduduk yang terjejas.

Konflik ini dilihat sebagai tanda bahawa ketegangan antara Israel dan Hizbullah belum dapat diselesaikan, dan serangan terbaru ini hanya akan meningkatkan risiko pertempuran yang berpanjangan di wilayah yang sudah lama berkonflik.

Read Previous

Rangkaian PlayStation Alami Gangguan, Sony Sedang Giat Tangani Isu

Read Next

BAM Tidak Sambung Kontrak Hendrawan Selepas 15 Tahun, Jurulatih Baharu Dicari

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.