PUTRAJAYA: Muhammed Yusoff Rawther yang merupakan bekas pembantu penyelidik Datuk Seri Anwar Ibrahim menarik balik rayuannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan terhadap saman yang difailkan ke atas perdana menteri itu melalui prosiding yang dijalankan hari ini. Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan oleh Hakim Datuk Lee Swee Seng bersama-sama Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Lim Chong Fong dengan itu membatalkan rayuan berkenaan dengan kos RM5,000.
Terdahulu, pada 14 Julai 2021, Muhammed Yusoff sebagai plaintif telah memfailkan saman terhadap Anwar atas dakwaan melakukan salah laku seksual ke atas dirinya. Kejadian berlaku di kediaman Anwar di Segambut pada 2018. Pada 28 September 2022 pula, plaintif memfailkan rayuan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pembelaan serta keseluruhan tuntutan balas Ahli Parlimen Tambun itu.
Baca lagi | Teong Kim Mengecewakan Perak FC
Dakwaan serangan seksual
Muhammed Yusoff dalam pernyataan tuntutannya mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar apabila beliau diminta oleh Shukri Saad yang merupakan Setiausaha Sulit Anwar untuk menyerahkan teks ucapan kepada defendan (Anwar) sempena sambutan ulang tahun Mahatma Gandhi yang ke-150 anjuran Pejabat Pesuruhjaya Tinggi India. Kesan daripada kejadian itu, plaintif mendakwa beliau dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan dan kesihatan mentalnya turut terjejas kerana menerima kritikan daripada pemimpin yang menyokong Anwar serta orang awam.
Manakala, pada September 2021, Anwar memfailkan tuntutan balas terhadap dakwaan plaintif bahawa dakwaan mengenai salah laku seksual itu adalah palsu dan direka. Anwar, dalam pernyataan pembelaan dan tuntutan balas itu mendakwa bahawa serangan seksual itu adalah tidak mungkin berlaku kerana beliau berada bersama keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut pada tarikh tersebut. Tuntutan balas Anwar merangkumi ganti rugi umum, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, faedah, kos, dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Baca lagi | Syamsul Sedia Terima Keputusan Mahkamah
Prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian itu sepatutnya mendengar rayuan Muhammed Yusoff terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan beliau untuk membatalkan beberapa perenggan dalam pembelaan Anwar. Dalam prosiding itu, peguam Reenajit Kaur Golen mewakili Muhammed Yusoff manakala peguam Navpreet Singh mewakili Anwar. Terdapat permohonan kos sebanyak RM5,000 yang dibuat oleh Yusoff selaku perayu kerana menarik balik rayuan dan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi.