KUALA LUMPUR, 13 Januari 2025 – Dilaporkan 8,909 orang pelajar telah disahkan berjaya dalam permohonan untuk ditawarkan tempat untuk melanjutkan pelajaran ke Tingkatan Satu dan Empat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bagi sesi kemasukan bagi tahun 2025. Hal ini telah pun diumumkan oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.
Menurut beliau, semua pemohon yang berjaya telah memenuhi kelayakan termasuk lulus Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) dan syarat-syarat lain yang telah ditetapkan.
Statistik Permohonan dan Tawaran MRSM 2025
Pada tahun ini, Mara menerima 93,635 permohonan untuk kemasukan ke MRSM, tetapi hanya 8,909 pelajar sahaja yang berjaya mendapat tempat.
- 7,229 pelajar ditawarkan untuk Tingkatan Satu.
- 1,680 pelajar pula diterima untuk Tingkatan Empat.
Ini menunjukkan persaingan yang sangat tinggi bagi mendapatkan tempat di MRSM.
Baca lagi | https://themalaysiapost.com/anak-tak-layak-masuk-mrsm-jika-ibu-bapa-gagal-bayar-hutang-mara%ef%bf%bc/
Dasar Inklusif Mara
Mara mengekalkan dasar inklusif dengan memberi 60 peratus tempat kepada pelajar daripada golongan berpendapatan rendah (B40) dan kawasan luar bandar.
Datuk Asyraf Wajdi berkata, “Faktor kewangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pelajar untuk menerima tawaran ini. Kami menyediakan bantuan seperti pakaian seragam, buku, dan keperluan asrama kepada keluarga yang memerlukan.”
Semua ibu bapa ataupun penjaga pelajar disarankan untuk terus berhubung dengan pihak Mara atau MRSM yang berkaitan bagi mendapatkan bantuan dan maklumat terkini.
Baca lagi | Mara Henti Kontrak Kontraktor Dewan Selera MRSM Taiping
Komitmen Mara terhadap Pendidikan Berkualiti
Mara turut memberi jaminan untuk mengekalkan kualiti pendidikan di MRSM sejajar falsafahnya untuk melahirkan pelajar holistik dan cemerlang dalam pelbagai aspek.
Ujarnya lagi, MRSM akan terus menjadi institusi pendidikan yang menghasilkan pelajar cemerlang yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Semakan dan Pengesahan Tawaran MRSM 2025
Semakan tawaran untuk kemasukan tahun ini dibuka bermula hari ini, 13 Januari 2025, pada pukul 12 tengah hari melalui dalam talian. Pelajar yang berjaya mohon MRSM akan menerima makluman pengesahan tawaran melalui SMS ataupun e-mel yang telah didaftarkan mereka semasa permohonan kemasukan MRSM dilakukan.
Pelajar yang telah berjaya memohon perlulah membuat pengesahan tawaran dalam tempoh tujuh hari. Kegagalan untuk mengesahkan tawaran akan dianggap sebagai menolak peluang tersebut.
Bagi pemohon yang layak tetapi belum mendapat tawaran, semakan seterusnya boleh dilakukan pada:
- 13 Januari 2025
- 27 Januari 2025
- 3 Mac 2025
- 17 Mac 2025
Untuk maklumat yang lebih lanjut, anda perlu melawati laman web rasmi Mara.
Usaha Mara Memperkasa Pendidikan
Mara berusaha untuk memastikan pelajar yang diterima di MRSM mendapat sokongan penuh dari segi akademik, kokurikulum, dan pembangunan sahsiah. Dengan ini, institusi tersebut terus menjadi platform terbaik bagi pelajar mencapai kecemerlangan.