Zoo di Jerman pertimbang untuk korbankan haiwan, alami krisis kewangan

  • By Wendy. V
  • April 17, 2020
  • 0
  • 142 Views

Penutupan beberapa perkhidmatan susulan pandemik koronavirus menyebabkan perniagaan tidak dapat dijalankan dan memperoleh keuntungan. Sekatan pergerakan di negara yang terjejas akibat wabak COVID-19 mengundang pelbagai kesan drastik terutama terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Impak pandemik yang melanda seluruh dunia turut menyaksikan zoo-zoo di Jerman mengalami krisis kewangan setelah para pelawat tidak dibenarkan sama sekali, mempertimbangkan untuk mengambil langkah drastik.

Di kawasan utara Jerman, sebuah zoo sedang mengalami krisis kewangan setelah kekurangan dana untuk memberi makan kepada haiwan-haiwan yang berada di bawah jagaan zoo tersebut. Justeru, zoo tersebut membuat permohonan untuk meminta sumbangan derma daripada orang awam bagi meneruskan operasi zoo seperti biasa walaupun tanpa kunjungan orang awam.

Zoo Neumünster kebiasaannya menerima pelawat yang ramai ketika hujung minggu dan musim cuti persekolahan. Tetapi, susulan pandemik koronavirus, kerajaan Jerman telah mengambil langkah sekatan pergerakan yang tidak membenarkan sebarang perhimpunan dan lawatan besar-besaran diadakan, dan ini termasuk menutup zoo daripada dikunjungi oleh orang ramai.

Operasi zoo serta pembelian makanan bagi diberikan kepada semua haiwan jagaan selama ini banyak bergantung kepada penjualan tiket. Ketiadaan pelawat menyebabkan pihak pengurusan zoo berasa tertekan untuk mencari dana tambahan.

Pihak pengurusan zoo tersebut juga memaklumkan akan mengambil langkah yang dilihat drastik dan kejam dengan mengorbankan beberapa haiwan untuk diberi makan kepada haiwan-haiwan lain di dalam zoo.

Cadangan telah dipertimbangkan dengan teliti untuk memastikan kelangsungan haiwan di dalam zoo terjaga. Beberapa haiwan telah disenaraikan sebagai haiwan korban yang akan disembelih. Langkah ini merupakan langkah alternatif terakhir oleh pihak pengurusan zoo bagi menyelamatkan haiwan daripada kebuluran.

Pihak pengurusan zoo turut berkata bahawa itu belum termasuk haiwan yang memerlukan bekalan buah segar, daging dan makanan tambahan lain. Haiwan seperti anjing laut dan penguin sebagai contoh memerlukan kuantiti ikan segar yang banyak pada setiap hari.

Dianggarkan kira-kira sebanyak RM832,000 kerugian yang dihadapi oleh pihak zoo dan ia akan terus bertambah sekiranya sekatan pergerakan dilanjutkan dengan lebih lama. Zoo tersebut turut memaklumkan tidak layak untuk mendapat sumbangan dana negeri ketika waktu krisis kerana tidak tergolong dalam kategori perniagaan kecil.

Untuk rekod, Jerman kini mempunyai 134,753 kes yang disahkan sebagai positif COVID-19 dan kadar kematian terus meningkat kepada 3,804 mangsa.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *