Lebih 1.3 bilion populasi India diarahkan ‘lockdown’ sepenuhnya

  • By Wendy. V
  • March 26, 2020
  • 0
  • 247 Views

India merupakan negara kedua yang mempunyai populasi teramai dan ekonomi kelima terbesar di dunia. Dengan keadaan krisis pandemik COVID-19, kerajaan India terpaksa melaksanakan perintah berkurung sepenuhnya ‘lockdown‘ yang memaksa ekonomi merundum dan menjejaskan ramai penduduk negara itu.

Terbaharu, Perdana Menteri India, Narendra Modi telah mengarahkan agar ‘complete lockdown‘ dilaksanakan di negara itu yang melibatkan lebih 1.3 bilion penduduk negara itu. Satu jumlah populasi terbesar dikenakan perintah berkurung!

Modi memberi amaran bahawa “banyak keluarga akan terjejas teruk selamanya” sekiranya negara itu tidak berjaya mengekang penularan koronavirus dalam masa tiga minggu ini.

Modi memaklumkan lockdown akan bermula pada tengah malam waktu tempatan (25 Mac), yang akan bertahan paling minimum selama 21 hari, dan akan meliputi kesemua 36 negeri dan teritori India.

Setakat ini, negara India telah mengesahkan 519 kes, termasuk 10 kematian dan 39 pesakit positif yang berjaya dirawat, menurut kenyataan Kementerian Kesihatan negara itu.

Beberapa buah negeri telah mengarahkan lockdown beberapa tempoh hari lalu, sebagai usaha untuk menyekat virus itu dari merebak. Sekatan sempadan antarabangsa juga ditutup untuk kebanyakan pelancong yang datang dari Eropah.

“Apa yang pakar beritahu ialah penjarakan sosial (social distancing) adalah satu-satunya cara untuk mengekang koronavirus. Iaitu dengan kekalkan jarak antara satu sama lain dan terus menetap di dalam rumah. Tidak ada cara lain untuk kekal selamat daripada koronavirus. Jika kita perlu menghentikan penularan ini, kita perlu hentikan kitaran jangkitan ini,” jelas Modi.

Hanya perkhidmatan berkeperluan sahaja dibenarkan beroperasi. Ini termasuklah perkhidmatan air, elektrik, kesihatan, kebakaran, pasar raya dan perbandaran.

Semua kedai, pusat komersial, kilang, pejabat, pasar dan pusat ibadat akan ditutup dan perkhidmatan pengangkutan seperti bas dan metro akan digantung. Aktiviti pembinaan juga akan diberhentikan dalam tempoh ini.

Perdana Menteri India berkata sekiranya wabak ini tidak ditangani dengan betul, ianya akan membawa negara kembali seperti dekad sebelumnya.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *