China capai titik baru: Tiada kes jangkitan baharu dicatatkan di Hubei

  • By Wendy. V
  • March 19, 2020
  • 0
  • 225 Views

China mencapai satu kejayaan dalam pertempuran dengan wabak maut selepas melaporkan tiada jangkitan tempatan baharu buat kali pertama sejak krisis koronavirus bermula tiga bulan lalu, yang telah membantutkan kehidupan harian dan aktiviti ekonomi di seluruh dunia.

Buat pertama kalinya, tiada kes jangkitan baharu dicatatkan di wilayah Hubei yang menjadi pusat penularan wabak COVID-19 pada Khamis. Paling membanggakan, tiada kes baharu membabitkan jangkitan dalam negara atau domestik di seluruh China, menurut ‘South China Morning Post’.

Hanya 34 kes baharu dijangkiti dari luar negara dilaporkan.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, sebanyak 70,420 daripada 80,928 individu yang positif COVID-19 dilaporkan pulih sepenuhnya. Jumlah kematian pula mencatatkan penurunan dari hari ke hari dengan lapan kematian dicatatkan pada Khamis. China merekodkan jumlah kumulatif kes kematian terkini adalah sebanyak 3,245.

Walaubagaimanapun, ramai mempersoalkan ketepatan data yang dikeluarkan China yang menyebabkan kekeliruan kerana kerap menukar kriteria diagnosis.

Pengamal perubatan di China dan luar negara turut mempersoal sama ada Beijing menyembunyikan epidemik pada peringkat permulaan, selepas kes pertama dilaporkan pada November, namun hanya menyedarinya pada penghujung Disember.

Sementara itu, hospital khas bagi merawat COVID-19 yang dibina di Wuhan secara rasmi ditutup pada Rabu bagi mengurangkan risiko penularan wabak berkenaan. Ia berikutan penurunan kadar kes jangkitan di wilayah itu sehingga membolehkan pegawai kesihatan negara berkenaan menghentikan operasi.

Sebelum ini, sebanyak 16 buah hospital di wilayah ini turut ditutup dalam tempoh tertentu bagi berdepan penularan pandemik.


Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *