WHO jangkakan kes koronavirus di Afrika akan mencapai 10 juta dalam tempoh 6 bulan

  • By Wendy. V
  • April 17, 2020
  • 0
  • 151 Views

Afrika mempunyai sejarah hitam mengenai kes penularan penyakit berjangkit pada beberapa tahun lalu. Penularan Ebola telah menjadi antara kes jangkitan utama di benua itu sejak bertahun-tahun lamanya dan kesannya masih dilihat sehingga ke hari ini.

Walaupun tidak membunuh seperti Ebola, tetapi COVID-19 jauh lebih mudah merebak. Negara-negara di Afrika setakat ini mengesahkan lebih daripada 17,000 kes positif COVID-19 dan jumlah kematiannya hampir mencecah 1000 kematian.

Kematian akibat COVID-19 di Afrika mungkin bakal mencecah angka yang lebih tinggi berbanding daripada apa yang dunia sedang saksikan sekarang ini, sekiranya tiada langkah utama yang diambil.

Menurut jangkaan oleh pegawai serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Afrika berdasarkan pemodelan sementara, kes wabak COVID-19 di benua Afrika bakal melonjak naik kepada lebih dari 10 juta pesakit yang dijangkiti dalam tempoh tiga hingga enam bulan.

Bagaimanapun, Michael Yao, ketua operasi kecemasan WHO Afrika berkata bahawa angka itu kemungkinan hanya berdasarkan situasi buruk sebelum ini melalui ramalan semasa wabak Ebola terdahulu. Ramalan WHO didapati tidak menjadi nyata disebabkan beberapa faktor termasuklah perubahan tingkah laku manusia sesuai peredaran masa.

“Ini masih boleh diperbaiki. Sukar untuk membuat anggaran jangka panjang kerana konteksnya berubah setiap masa dan juga langkah-langkah kesihatan awam yang dilaksanakan sepenuhnya benar-benar dapat memberi kesan,” kata Yao.

Walaupun kes di benua Afrika mencapai 17,000 kes dan sekitar 900 daripadanya sudah meninggal dunia akibat COVID-19, namun jumlah itu adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan kawasan rantau lain.

Namun begitu masih ada kebimbangan bahawa angka itu mungkin akan meningkat. Situasi ini amat membimbangkan selepas mengambil kira kemudahan dan peralatan perubatan yang tidak sehebat beberapa negara maju yang lain.

“Kami bimbang wabak ini terus menyebar secara geografi, di antara negara-negara. Jumlahnya terus meningkat setiap hari,” kata Pengarah WHO Afrika, Matshidiso Moeti.

Jangkitan di Afrika Selatan, negara dengan kes COVID-19 tertinggi di benua Afrika, menunjukkan kes sudah mula berkurang sejak perintah penguncian dilaksanakan. Tetapi negara lain – seperti Burkina Faso, Republik Demokratik Kongo dan Algeria menunjukkan peningkatan berbanding purata kematian.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *