Pandemik COVID-19 hasilkan sejumlah besar sisa buangan klinikal di seluruh dunia, termasuk Malaysia

Seluruh negara di dunia dibebani dengan produk sisa buangan klinikal selepas jumlah kemasukan pesakit dan kes kematian terus meningkat sejak krisis pandemik bermula. Dengan beratus kes yang direkodkan dan beribu ujian koronavirus dijalankan di seluruh dunia setiap hari, sisa medikal yang terhasil melonjak naik kepada 27% berbanding 17% sebelumnya pada bulan Februari.

Di Wuhan, di mana virus itu pada awalnya merebak, bukan sahaja perlu membina hospital baharu kerana peningkatan kemasukan pesakit yang semakin ramai, tetapi juga turut membina satu pusat pelupusan sisa buangan perubatan klinikal dan mengatur 46 fasiliti bergerak bagi merawat sisa rawatan juga. Hospital-hospital di China menghasilkan 6 kali ganda jumlah sisa buangan klinikal ketika kemuncak penularan virus tersebut sebelum bermulanya krisis. Pengeluaran hasil sisa buangan klinikal setiap hari di sana mencapai 240 metrik tan, iaitu dianggarkan seperti berat seekor ‘Blue Whale’ dewasa.

Malaysia turut tidak terkecuali daripada pelonjakan hasil sisa buangan klinikal yang terhasil sejak permulaan pandemik COVID-19. Menurut Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menjelaskan peningkatan sampah buangan tercemar disebabkan oleh jumlah penggunaan alat pelindung diri (PPE) dan bahan cecair lain yang dilupuskan ketika pandemik.

Apa yang menjadi kebimbangan ialah kerisauan terhadap penularan bahan tercemar ini melalui tempat buangan di persekitaran luar kawasan pusat perubatan. Selain itu, individu yang dijangkiti tetapi belum dikenalpasti dengan jangkitan wabak itu masih mampu menularkan virus melalui pembuangan sampah sisa tercemar itu.

Kajian mendapati bahawa virus tersebut boleh bertahan pada sesuatu objek selama lebih sehari atau lebih lama. Namun begitu, sekiranya bahan buangan tercemar itu dilupuskan dengan betul, risiko penularan virus itu dapat diminimumkan.

Menteri Alam Sekitar juga menyakinkan rakyat Malaysia bahawa hasil buangan sisa tercemar ini diuruskan dan dilupuskan secara berhemah untuk mengelakkan sebarang penjejasan kepada alam sekitar dan juga meningkatkan lagi penularan virus.

Sementara itu, pusat rawatan air di Malaysia juga akan meningkatkan lagi usaha mereka untuk memastikan sumber minum di negara ini sentiasa dalam keadaan selamat dan baik. Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah mengarahkan operator di seluruh negeri untuk menambahkan kandungan klorin dalam bekalan air yang dirawat daripada 0.2 ppm kepada 0.5 ppm. Penambahan itu dibuat selaras dengan saranan yang dianjurkan oleh World Health Organisation (WHO) ketika waktu krisis ini.

Pandemik COVID-19 yang semakin memuncak ini bukan sahaja menjangkiti banyak orang dan mengorbankan banyak nyawa, tetapi juga meningkatkan penghasilan pembuangan bahan tercemar klinikal ini yang akan terus semakin bertambah sekiranya krisis semakin lanjut.

Pengurusan sisa buangan klinikal yang teratur dan selamat mampu mengekang penularan wabak itu tetapi menjadi satu cabaran terhadap komuniti sehinggalah krisis ini berakhir.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *