Budak Palestin buta ditembak oleh polis Israel

  • By Wendy. V
  • February 20, 2020
  • 0
  • 80 Views

Tahun lalu, heboh di media sosial seorang wartawan di Palestin hilang sebelah mata beliau selepas terkena tembakan daripada rejim Zionis. Terbaharu, seorang kanak-kanak Palestin turut menerima nasib yang sama.

Malek Issa, berusia 8 tahun disahkan buta sebelah mata kirinya selepas ditembak oleh polis Israel dengan peluru keluli bersalut getah.

Dia ditembak ketika melangkah keluar dari sebuah restoran di Baitulmuqaddis Timur selepas membeli sandwich.

Menurut bapa mangsa, Wael Issa, anaknya memang sengaja ditembak walaupun anggota polis Israel menafikan.

“Ini kerana tembakan tersebut adalah dari jarak dekat.

“Malek sudah terjaga tetapi kondisinya sukar. Tembakan itu menyebabkan patah tulang dan beri kesan pada bahagian muka serta pendarahan otak. Dia berisiko mengalami kerosakan otak,” katanya kepada Middle East Eye.

Wael berkata, pasukan Israel telah datang ke kawasan itu untuk menahan seorang lelaki dan apabila mereka melihat orang ramai mula berkumpul, mereka mula menembak secara rambang.

Sementara itu, polis Israel berkata, pegawainya menggunakan langkah kawalan rusuhan semasa operasi di Issawiya.

Bagaimanapun, rakaman yang tular di laman sosial dari tempat kejadian bertentangan dengan apa yang dinyatakan pihak Israel di mana ia menunjukkan aktiviti biasa sahaja dijalankan penduduk sebelum tembakan dilepaskan.

Polis Israel berkata, kejadian itu sedang disiasat, namun Ahli Jawatankuasa Komuniti Issawiya, Mohammed Abu al-Homs berkata, pasukan Israel telah datang di kampung setiap hari sejak 10 bulan yang lalu.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *