Dua sahabat maut, motor dilanggar oleh pemandu mabuk

  • By Wendy. V
  • February 11, 2020
  • 0
  • 107 Views

Dua sahabat maut selepas motosikal ditunggangi mereka dilanggar kereta dipandu wanita yang disyaki memandu dalam keadaan mabuk di KM13, Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) menghala Sungai Dua, di Butterworth, awal pagi tadi.

Dua sahabat dan motorsikal yang ditunggangi mereka.

Dua mangsa yang dikenali sebagai Muhamad Syaiful Hilmi Rosidi dan Muhammad Amin Najmi Azaman menjadi mangsa dirempuh pemandu mabuk. Kedua sahabat ini disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada sekitar jam 2.30 pagi tadi, 11 Februari 2020. Kedua-dua mangsa ini berasal dari Kampung Paya Keladi Hujung, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, kemalangan itu berpunca daripada sebuah kereta jenis Toyota Vios melanggar belakang motosikal jenis YAMAHA 125ZR ditunggangi mangsa menyebabkan kedua-dua mereka parah di kepala dan badan.

Noorzainy berkata siasatan awal mendapati wanita berumur 47 tahun yang bekerja sebagai jurujual itu dalam perjalanan pulang ke rumah ibunya di Kepala Batas dan mengaku baru balik berhibur daripada sebuah pusat karaoke di Jalan Raja Uda di Butterworth.

“Ujian awal mendapati jurujual itu memandu di bawah pengaruh alkohol namun ujian air kencing mendapati dia negatif dadah,” katanya dan menurutnya wanita itu kini direman untuk siasatan.

Noorzainy meminta kerjasama orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat berhubung perlanggaran itu menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Nur Syafinaz Abdul Aziz di talian 018-2881424 atau balai polis berdekatan.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *