FAM tunggu pengesahan New Zealand bertemu Harimau Malaya

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sedang menunggu jawapan rasmi dari New Zealand untuk mengadakan aksi persahabatan buat Harimau Malaya. Ia susulan penundaan perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi bulan ini dan Jun akibat penularan COVID-19.

New Zealand dijangka menjadi satu-satunya pasukan yang akan menguji tahap prestasi skuad Harimau Malaya pada jendela perlawanan antarabangsa Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), bulan ini.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi mengakui kebimbangan mengenai COVID-19 menyukarkan pihaknya mendapatkan pasukan untuk aksi persahabatan.

Menurut Mohd Yusoff, New Zealand yang menduduki ranking ke-122 dunia itu satu-satunya negara yang memberikan reaksi positif walaupun ketika ini dunia sedang diancam penularan wabak COVID-19.

“Beberapa (negara) yang kita hubungi tidak dapat menyertai aksi persahabatan, mungkin atas faktor COVID-19 atau mungkin juga mereka sudah mengatur perancangan lain.

“Kita sudah berhubung dengan beberapa negara termasuk Filipina, Singapura dan India, tapi kita nampak ada sedikit cahaya (petanda positif) mungkin New Zealand,” katanya.

Dengan pasukan New Zealand harapan itu cerah sedikit kerana reaksi diberikan positif cuma mereka belum beri jawapan secara tepat. FAM tetap berharap dapat mencari satu perlawanan buat pasukan kebangsaan bulan ini,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di Kelana Jaya, di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata Malaysia diletakkan dalam zon merah mengenai isu COVID-19 oleh beberapa negara, sekali gus menyukarkan Harimau Malaya mendapatkan lawan bagi aksi persahabatan.

“Berkenaan COVID-19 saya sudah berhubung dengan setiausaha agung persatuan bola sepak negara lain dan Malaysia dikategorikan sebagai zon merah yang mana mungkin mereka tak boleh datang ke sini, atau kalau mereka datang, mungkin pemain mereka tak boleh balik ke negara tempat mereka beraksi.

“Contoh pemain Korea yang bermain di England tak boleh balik ke Korea, kalau balik Korea tak boleh masuk balik England.

“Perkara ini agak rumit, bukan isu pasukan itu boleh datang atau tidak ke Malaysia, tapi individu mungkin tak boleh datang. Walaupun FIFA bagi ruang buat aksi persahabatan, tapi kita pun kena tengok dari sudut antarabangsa,” katanya.

Khamis lepas, FIFA dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan sedang mengkaji langkah menangguhkan saingan kelayakan itu susulan kesan penularan COVID-19 di seluruh dunia, dengan pengesahan rasmi itu dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Harimau Malaya di bawah bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe dijadual menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 26 Mac sebelum menjadi tuan rumah kepada Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac dalam saingan Kumpulan G pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA bulan ini.

Pada jendela perlawanan antarabangsa FIFA Jun depan, Malaysia akan menamatkan kempen kelayakan menentang Thailand di Bangkok pada 9 Jun.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *