Vissel Kobe musnahkan harapan JDT

  • By Wendy. V
  • February 14, 2020
  • 0
  • 82 Views

Harapan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk cuba melakar kejutan ke atas kelab Jepun, Vissel Kobe musnah apabila tumpas 1-5 dalam aksi pembukaan Kumpulan G saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), di Stadium Misaki Park, Jepun, Rabu lalu.

Kobe yang turun dengan status pasukan pilihan tidak menghadapi masalah untuk menguasai perlawanan dibantu kelicikan dan hantaran berkualiti bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Andres Iniesta yang sering kali mengelirukan benteng pertahanan JDT.

Pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit ke-13 selepas Keijiro Ogawa menyudahkan hantaran Iniesta, namun juara Liga Super itu bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-27 menerusi sepakan penalti bintang sensasi JDT, Muhammad Safawi Rasid.

Namun, Kyogo Furuhashi kembali meletakkan Kobe di hadapan seminit kemudian sebelum Ogawa hadir dengan gol kedua peribadinya pada minit ke-58.

Kobe terus melebarkan kedudukan melalui penyerangnya Douglas dan Ogawa melengkapkan hatriknya pada minit ke-72 sekali gus memastikan tiga mata penuh buat kelab Jepun itu.

JDT dijadualkan bertemu kelab Korea Selatan, Suwon Bluewings dalam aksi ACL seterusnya di Stadium Sultan Ibrahim, 3 Mac ini.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *