Saintis terokai spesies ‘pelik’ baru kura-kura matamata dari Amerika Selatan

  • By Wendy. V
  • April 30, 2020
  • 0
  • 180 Views

Alam ini sangat misteri dan masih menyimpan 100 rahsia yang belum diterokai oleh manusia sepenuhnya. Sebenarnya masih banyak lagi spesies yang belum berjaya dikenalpasti dan diselidiki.

Saintis dan profesor, Dr Uwe Fritz dari Koleksi Sejarah Alam Senckenberg di Dresden, Jerman bersama dengan pasukan saintis antarabangsa telah mengenalpasti seekor kura-kura, juga disebut sebagai kura-kura matamata atau mata-mata.

Reptilia ini tidak seperti penyu peliharaan rumah yang biasa, kerana haiwan ini mempunyai satu kebolehan yang sangat menarik. Penyu ini bersembunyi di dalam lumpur, dan kawasan yang kelihatan seperti batu-batu yang ditutupi alga ketika berada di bawah air.

Haiwan ini juga tidak makan seperti kura-kura lainnya – ketika mangsa menghampiri, ia disedut ke mulut besar mereka dan kemudian ditelan keseluruhannya.

Kura-kura matamata sangat dikenali kerana berwajah aneh, oleh kerana bentuk kepala menyerupai baji berbeza dengan mata kecil dan mulut besar.

Pakar penyelidik di Koleksi Sejarah Alam Senckenberg mengeluarkan suatu laporan yang mendedahkan setelah melakukan analisis genetik pada kura-kura matamata dari dua lokasi yang berbeza di utara Amerika Selatan. Mereka mendapati bahawa terdapat dua genetik dan morfologi yang boleh dibezakan dengan baik pada dua spesies kura-kura matamata.

Nampaknya, pemisahan antara kedua spesies itu berlaku 13 juta tahun yang lalu. Sekarang, matamata yang baru ditemui boleh didapati di lembah Orinoco dan Río Negro di Amerika Selatan, sementara kura-kura matamata yang diketahui sebelum ini berada di lembah Amazon.

Spesies yang baru itu dikenali sebagai Chelus orinocensis manakala, spesies sebelumnya ialah Chelus fimbriata.

“Walaupun kura-kura ini terkenal kerana bentuk fizikalnya yang pelik dan tingkah laku pemakanan yang agak luar biasa, namun tidak banyak diketahui mengenai kebolehubahan dan genetiknya.

“Hingga kini, kami menganggap bahawa hanya mempunyai satu spesies reptilia ‘armored’ ini yang merangkumi luas kawasan Amerika Selatan,” kata Fritz.

Sehingga setakat ini, spesies ini belum lagi dianggap sebagai haiwan terancam berdasarkan distribusi mereka yang meluas. Walau bagaimanapun, disebabkan jenis kura-kura itu dipecahkan kepada dua spesies, saiz populasi setiap spesies itu lebih kecil dari yang dijangkakan sebelum ini.

Di samping itu, beribu-ribu haiwan pelik ini terlibat dalam perdagangan haram dan disita oleh pihak berkuasa setiap tahun. Jadi, perlu adanya usaha untuk melindungi haiwan yang mempersonakan ini sebelum terlambat.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *