Perlukah Malaysia terus prihatin isu Rohingya? Keadaan negara sekarang lebih penting.

  • By Wendy. V
  • April 23, 2020
  • 0
  • 440 Views

Sejak virus COVID-19 semakin memburuk di Malaysia, kerajaan telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semenjak 18 Mac dan dijadualkan berakhir pada 28 April 2020. Sepanjang tempoh PKP, semua warga asing serta pelarian tidak dibenarkan memasuki sempadan negara ini.

Sempadan negara dikawal ketat oleh pihak berkuasa maritim sebagai usaha untuk mengurangkan risiko penularan wabak COVID-19. Rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara juga diwajibkan untuk menjalani kuarantin di beberapa pusat kuarantin yang telah ditetapkan di seluruh negara.

Minggu lalu, kehadiran bot yang membawa ratusan pelarian etnik Rohingya ke perairan Malaysia di Langkawi secara haram telah ditahan dan diusir daripada memasuki sempadan negara ini. Ini adalah manifestasi jelas bahawa usaha perlu ditingkatkan, bukan sahaja untuk mengawal sempadan negara, tetapi juga bagi membendung wabak COVID-19.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga berjaya menahan dua warga Myanmar yang terlibat dalam sindiket menyeludup etnik Rohingya susulan maklumat yang diperolehi daripada sekumpulan 202 etnik Rohingya yang ditahan di perairan Langkawi kerana cuba memasuki negara pada 5 April lalu.

Dalam kejadian lain awal bulan ini, 60 orang Rohingya mati di sebuah kapal yang penuh sesak yang terkandas di Teluk Benggala selama dua bulan, di mana mangsa yang terselamat memaklumkan bahawa mereka dihalang memasuki perairan Thailand dan Malaysia.

Sikap tegas Malaysia dalam usaha menghalang kedatangan kapal Rohingya mencetuskan rasa marah daripada kumpulan hak asasi, yang bimbang beberapa kapal lain mungkin berada di laut antara Bangladesh dan negara Asia Tenggara.

Sungguh pun begitu, wujud suara-suara yang inginkan kerajaan untuk membuka pintu dan menerima masuk pendatang ini untuk dijaga di negara ini. Tetapi, ramai juga pendapat dari rakyat Malaysia sendiri di media sosial yang bersetuju untuk tidak membenarkan pelarian Rohingya ini memasuki sempadan dan menetap di negara ini.

Walaupun Malaysia bukanlah negara anggota Konvensyen Pelarian 1951, Malaysia telah menjadi negara yang sangat pemurah dalam mempromosikan keamanan di peringkat antarabangsa. Malaysia seringkali menerima pendatang Rohingya yang ditindas dan dinafikan kerakyatan mereka oleh kerajaan Myanmar selama bertahun-tahun.

Di saat dunia berpaling tadah, Malaysia telah mengambil tanggungjawab untuk memberikan perlindungan kepada pencari suaka Rohingya ini. Suatu ketika dahulu, 150,000 pelarian Rohingya ini diberikan bantuan oleh Malaysia atas dasar kemanusian.

Walau bagaimanapun, keadaan telah berubah sekarang. Seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Malaysia kini sedang berperang dengan tentera halimunan. Perniagaan dan perdagangan telah terhenti akibat PKP dan ekonomi telah terjejas teruk akibat wabak COVID-19 ini.

Dalam mendepani ketidaktentuan ini baik didalam negara mahupun diperingkat global, Malaysia perlu meletakkan keutamaannya di tempat yang betul dengan mengutamakan rakyatnya dahulu melebihi yang lain.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menunjukkan hasil yang baik dengan menurunkan kadar jangkitan seterunya memastikan sistem kesihatan Malaysia tidak lumpuh.

Walau bagaimanapun, apakah akan terjadi sekiranya Malaysia membuka pintu dan membenarkan pencari suaka Rohingya untuk meminta perlindungan secara terus menerus?

Pendatang-pendatang Rohingya yang datang ke Malaysia di dalam bot-bot usang ini mungkin bukan sahaja mempunyai COVID-19, tetapi pelbagai jenis penyakit lain yang berbahaya dan mudah berjangkit. Ini boleh memberi kesan yang buruk kepada negara dan warganya.

Malaysia telahpun melakukan tanggungjawabnya dalam memberikan perlindungan kepada pencari suaka Rohingya yang sedia ada selama ini. Akan tetapi, situasi kini sudah berubah.

Kini tiba masanya kerajaan bertegas dan memberikan keutamaan kepada rakyat Malaysia dahulu dengan menutup seerat-eratnya sempadan negara dalam usaha memecahkan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyatnya terjamin.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *