Pertembungan Muhyiddin-Mahathir dalam pemilihan Bersatu

PPBM dijangka menyaksikan perebutan 3 jawatan tertinggi parti itu dalam pemilihan sulungnya Jun ini berikutan perpecahan yang berlaku membabitkan kumpulan diketuai pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan kumpulan penyokong presiden parti dan juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir adalah penyandang jawatan timbalan presiden PPBM.

Mahathir yang merupakan perdana menteri dua minggu lepas membayangkan kesediaan untuk menawarkan diri sebagai pengerusi parti. Menurut perlembagaan PPBM, pengerusi adalah pemimpin tertinggi parti.

Sumber dalaman PPBM memberitahu bahawa Muhyiddin menyasarkan jawatan pengerusi bagi mengawal parti dan menjamin parti itu kekal dalam gabungan Perikatan Nasional.

“Muhyiddin tidak boleh menubuhkan parti baru. Ia akan semakin memecahkan orang Melayu,” kata sumber itu lagi.

Pemilihan kali ini akan menampakkan perasaan sebenar akar umbi PPBM berhubung kemelut politik yang berlaku sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Pencalonan untuk jawatan utama akan diadakan pada Isnin dan perwakilan dari 189 bahagian akan mengundi pilihan mereka pada 18 April.

Pemilihan akan berlangsung pada perhimpunan agung PPBM yang dijadualkan pada 20 Jun. Perwakilan juga akan memilih 3 naib presiden dan 20 ahli majlis tertinggi.

PPBM menang 13 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14. Ia kemudiannya memperoleh 13 kerusi tambahan susulan penghijrahan ahli Parlimen daripada Umno. Parti itu bagaimanapun kalah dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai pada 16 Nov tahun lepas.

Mukhriz (Ahli Parlimen Jerlun), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) dan Maszlee Malik (Simpang Renggam) diketahui menyokong Mahathir.

Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusof (Alor Gajah), Rina Harun (Titiwangsa), Datuk Dr Shahruddin Salleh (Sri Gading), Muslimin Yahaya (Sungai Besar) dan Datuk Eddin Syazlee Shith (Kuala Pilah) menyokong Muhyiddin. Mereka juga adalah menteri dan timbalan menteri dalam Kabinet yang baru dibentuk.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang merupakan ahli Parlimen Tambun dan Adun Chenderiang juga berpihak kepada Muhyiddin. 

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *