Harapan rakyat terhadap Kabinet baharu

  • By Wendy. V
  • March 11, 2020
  • 0
  • 103 Views

Pembentukan barisan jemaah Kabinet baharu oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam dilihat cukup mantap dan menyakinkan bagi menghadapi pelbagai cabaran yang bakal dihadapi oleh negara kita.

Langkah yang cepat diambil Muhyiddin untuk mengisi semua jawatan dalam kementerian dianggap tepat pada masanya kerana beliau tidak ingin melengahhkan lagi jentera pentadbiran kerajaan selepas terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional minggu lalu.

Selain menyediakan barisan Kabinet yang menfokuskan aspirasi rakyat, ia turut menampilkan barisan tokoh politik berpengalaman, teknorat dan individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu.

Seperti kata Muhyiddin, beliau akan memastikan semua menteri yang dilantik memberi tumpuan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih berfokus dan berkesan selain peduli rakyat serta telus.

Harapan rakyat kepada kebolehan jemaah menteri ini amatlah tinggi. Rakyat Malaysia sesungguhnya inginkan sebuah kerajaan stabil serta mengutamakan kebajikan rakyat.

Bukan itu sahaja, ketika seluruh dunia termasuk negara kita dilanda serangan wabak Covid-19, rakyat sebenarnya begitu mengharapkan segala bantuan dan langkah-langkah pencegahan yang dilakukan kerajaan.

Selain kesihatan, satu lagi sektor yang amat penting berkaitan dengan rakyat ketika ini ialah kos sara hidup dan kenaikan harga barang. Rungutan rakyat mengenai kos sara hidup yang tinggi dan kenaikan harga barang perlu diselesaikan agar tidak terus menjadi bebanan, terutama sekali kepada golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan file senarai nama pelantikan jemaah menteri.

Kita percaya barisan menteri yang dilantik ini adalah daripada kalangan yang berintergiri kerana mereka telah melepasi tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kita berharap barisan Kabinet baharu ini boleh menenangkan suasana politik di negara kita dengan cepat sekali gus menyusun dan mempergiatkan pelbagai aktiviti ekonomi, terutama sekali kepada pelabur asing.

Selepas pengumuman jemaah Kabinet ini, semua pihak digesa kembali semula bekerja seperti biasa. Hindarlah daripada segala persengketaan akibat perbezaan fahaman politik.

Sudah tiba masanya semua parti politik, sama ada parti kerajaan mahupun parti pembangkang berhenti daripada terus mencetuskan suasana politik yang kurang selesa.

Kita menyerahkan kepada pimpinan Muhyiddin dan barisan Kabinetnya untuk membawa Malaysia kembali menjadi sebuah negara yang berjaya dan makmur seiring dengan negara-negara maju di dunia.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *