Gerakan kerajaan pintu belakang 2008 Anwar Ibrahim

Pada 23 Februari yang lalu, sejarah politik negara mencatatkan sebuah lagi drama politik yang agak epik. Kesemua pemimpin parti politik utama tanah air mengadakan mesyuarat tergempar di ibu pejabat masing-masing. Ura-ura mengatakan bahawa pertukaran kerajaan akan berlaku melalui pintu belakang. PPBM-UMNO-PAS-Kartel Azmin dikhabarkan akan membentuk kerajaan baru bagi menggantikan kerajaan sedia ada.

Peristiwa ini serupa dengan apa yang berlaku sekitar 12 tahun lalu. Cerita ini bermula selepas sahaja Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihanraya Umum ke-12. BN buat pertama kalinya hanya menang dengan majoriti mudah, iaitu sebanyak 140 kerusi.

Keputusan ini menyebabkan rekod kemenangan BN tercalar setelah menang besar pada pilihanraya sebelum ini. Berikutan keputusan pilhanraya itu, Perdana Menteri telah diasak luar dan dalam dan bagi pihak pembangkang, ini merupakan sebuah kemenangan moral bagi mereka.

Datuk Seri Anwar Ibrahim baru sahaja dibebaskan daripada penjara dan tahanan daripada berpolitik pada ketika itu. Oleh itu, beliau merancang untuk menubuhkan sebuah kerajaan melalui pintu belakang di bawah gagasan Pakatan Rakyat. Beliau sangat yakin dengan kaedah itu dengan menyatakan bahawa seramai 30 orang Ahli Parlimen BN akan melompat parti ke PR untuk menubuhkan kerajaan baru.

Rancangan bermula sekitar Mac 2008 dan mendapat sokongan positif dari kalangan penyokong PR sendiri. Datuk Seri Anwar juga menetapkan 16 September sebagai tarikh pembentukan kerajaan baru. Mereka telah menamakan gerakan tersebut sebagai Gerakan Untuk Malaysia Baru.

Anwar Ibrahim isytiharkan 16 September 2008 sebagai rampasan kuasa

Sebuah sidang media diadakan sekitar Ogos 2008 oleh Datuk Seri Anwar untuk memberitahu bahawa gerakan tersebut berjalan dengan lancar. Beliau juga turut mengatakan bahawa pada 27 Ogos merupakan tarikh Ahli Parlimen melompat keluar parti. Datuk Seri Anwar juga mengingatkan Perdana Menteri supaya menyerahkan kuasanya dengan aman. Namun, Perdana Menteri tidak mengendahkan permintaan beliau.

Gerakan tersebut akhirnya gagal dan terkubur. Menurut bekas pemimpin PKR, gerakan itu gagal kerana ahli yang melompat parti tidak mencukupi. Ini kerana pada ketika itu Perdana Menteri telah menghantar 40 Ahli Parlimen ke Taiwan untuk menghadiri sebuah forum dan mengagalkan usaha Datuk Seri Anwar itu.

Datuk Seri Anwar juga mendakwa Perdana Menteri kuasanya untuk menghalang Speaker Dewan Rakyat agar usul tentang pembentukan kerajaan baru ini tidak terjadi. Kegagalan itu menyebabkan sebilangan Ahli Parlimen khasnya dari Sabah dan Sarawak mengambil keputusan untuk kekal di dalam BN dan kekal memberi sokongan terhadap Perdana Menteri.

Selepas daripada itu, seperti yang kita sedia maklum, Datuk Seri Anwar tidak pernah berhenti dari gerakannya dan Perdana Menteri menjalankan tanggungjawabnya seperti biasa sehingga digantikan dengan Perdana Menteri yang lain setahun berikutnya.

Wendy. V

Sebaran berita terkini hanya untuk anda!

View All Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *